SPRM siasat kes tuntutan program palsu

Iklan

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menyiasat kakitangan sebuah agensi penguat kuasa kerajaan berhubung penipuan tuntutan satu program yang didakwa tidak wujud.

Menurut sumber, kakitangan agensi berkenaan dipercayai terlibat dalam memalsukan tuntutan untuk mengadakan satu kursus di sebuah hotel di bandar raya ini sedangkan program itu sebenarnya tidak wujud.

Iklan
Iklan

"Kakitangan yang terlibat dipercayai menggunakan wang tuntutan bernilai belasan ribu ringgit untuk perkara tidak sepatutnya melanggar prosedur perolehan kerajaan.

"Penipuan berkenaan dikesan berlaku pada pertengahan tahun ini dan siasatan sedang dilakukan SPRM terhadap kakitangan itu yang dipercayai terlibat.

Iklan

"Siasatan juga dibuat membabitkan pihak hotel yang dipercayai turut bersubahat dalam membuat tuntutan itu. Siasatan sudah selesai dan kertas siasatan sudah diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut di mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan kes itu namun enggan mengulas lanjut.

Iklan

Bagaimanapun katanya, sepanjang tahun ini pihaknya sudah melakukan 25 tangkapan berbanding 45 tangkapan tahun lalu membabitkan kes salah laku dan rasuah.

Selain itu, 36 kertas siasatan dibuka pada tahun ini berbanding 35 kertas siasatan pada tahun lalu manakala enam pertuduhan kes salah laku dan rasuah di mahkamah direkodkan pada tahun ini berkurangan berbanding tahun lalu sebanyak 20 pertuduhan.