Kapal tak boleh ada dua nakhoda: Wan Azizah

Iklan
Wan Azizah semasa ucapan merasmikan penutupan Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan 2019 di MITC hari ini. FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

MELAKA - Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan pemimpin dan ahli parti agar menghentikan pergolakan dan pergeseran sesama sendiri.

Ini kerana katanya, tindakan demikian tidak menguntungkan sesiapa dan menyeru supaya kepimpinan PKR kembali kepada agenda membela rakyat.

Iklan
Iklan

"Kapal yang sehebat mana pun tidak boleh ada dua nakhoda," katanya ketika berucap merasmikan penutupan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha.

Iklan

Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengajak ahli PKR memahami sejarah penubuhan PKR agar menghargai perjuangan dan pengorbanan reformis yang membina parti itu dengan keringat serta air mata.

Menurutnya, PKR bermula dengan gerakan rakyat bangkit menuntut keadilan terhadap kezaliman pemerintah ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim selain keadilan dalam sistem kehakiman dan institusi awam.

Iklan

"PKR menjadi parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) dengan mempunyai 222 cabang yang dianggotai semua kaum.

"Pikul amanah dengan penuh tanggungjawab. Jaga adab, akhlak dan disiplin dalam parti serta janganlah kerana suara-suara sumbang memecahbelahkan kita," katanya.

Wan Azizah berkata, ahli parti perlu mematuhi etika dan peraturan yang dipersetujui bersama ketika membentuk parti itu.

"Ingatkan masa Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan Malaysia, beliau dinobatkan sebagai menteri yang terbaik ketika itu.

"Insya-ALLAH masa depan kita boleh perbaiki untuk semua rakyat Malaysia dan tiada seorang pun akan dipinggirkan kerana kita mahu persamaan.

"Ayuh kita rapatkan saf, kuatkan semangat. Kita mesti laksanakan kotakan apa yang kita janjikan," katanya.