SHAH ALAM - Seperti dijangka, Konvensyen Parti Amanah Nasional (Amanah) 2019 sebulat suara mengekalkan Mohamad Sabu dan Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti itu bagi sesi 2019-2020.
Keputusan itu diumumkan Speaker Amanah, Onn Jaafar hasil persetujuan 27 ahli Jawatankuasa Kepimpinan Amanah Nasional baharu dilantik yang difahamkan bermesyuarat bermula jam 10.30 malam hingga 2 pagi di Hotel Pegasus, di sini.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu adalah merupakan Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Kota Raja, manakala Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai dilantik kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Terdahulu, Mohamad dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Amanah Nasional dibuat secara bermusyawarah oleh 27 ahli Jawatankuasa Kepimpinan Amanah Nasional yang dipilih melalui proses pemilihan parti.
Sementara itu, Onn turut mengumumkan pelantikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar sebagai Naib Presiden 1, manakala jawatan Naib Presiden 2 disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Bagi jawatan Naib Presiden 3 pula kekal disandang Datuk Hasanuddin Mohd Yunos.
Keputusan itu menyaksikan ketiga-tiga tokoh politik Amanah itu mengekalkan jawatan Naib Presiden disandang sebelum ini.
Semalam, seramai 822 perwakilan Amanah Nasional seluruh negara mengundi menerusi sistem e-voting bermula jam 9.45 malam dan berakhir jam 10.30 malam.
Undian itu dijalankan ke atas 94 calon yang berentap pada pemilihan Jawatankuasa Amanah Nasional untuk sesi 2019-2022 yang turut merebut jawatan speaker, timbalan speaker, juruaudit termasuk 27 jawatan ahli jawatankuasa(AJK).
SENARAI JAWATANKUASA TERTINGGI AMANAH NASIONAL:
Presiden - Mohamad Sabu
Timbalan Presiden - Datuk Seri Salahuddin Ayub
Naib Presiden 1 - Datuk Mahfuz Omar
Naib Presiden 2 - Datuk Seri Dr Mujahid Yusof
Naib Presiden 3 - Datuk Hasanuddin Mohd Yunos