Momentum Liverpool tidak terjejas

Iklan
Van Dijk -Foto AFP

TONGGAK pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk menyifatkan masalah benteng mudah bolos bukan isu besar yang boleh menjejaskan momentum pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu selagi mereka mengakhiri perlawanan dengan noktah kemenangan.

Bagaimanapun beliau mengakui setiap pemain pertahanan pastinya tidak mahu melepaskan gol kepada pihak lawan kerana melibatkan kredibiliti mereka.

Iklan
Iklan

"Isu mudah bolos tidak terlalu penting walaupun ada ketika sering dipertikaikan dalam kalangan penyokong-penyokong kelab sejak kebelakangan ini.

"Tapi harus diingatkan bahawa biarpun saya akui bahawa benteng kami mudah bolos sejak kebelakangan ini tapi kami tetap pada pengakhiran menghadiahkan tiga mata," katanya.

Iklan

Liverpool mengalahkan Everton 5-2 pada saingan Derbi Merseyside di Anfield pada Khamis sekali gus menyaksikan kelab itu memperkukuhkan kedudukan di puncak liga dengan 43 mata selepas mengharungi 15 perlawanan.

Begitupun timbul persoalan dalam kalangan penyokong-penyokong kelab itu mengenai kemantapan bahagian pertahanan kelab sarat tradisi kejuaraan Inggeris berkenaan yang sering bolos biarpun semasa beraksi di laman keramat mereka Anfield.

Iklan

Tambah menarik skuad kendalian Jurgen Klopp itu pada musim ini sekadar mengekalkan rekod bersih tanpa bolos hanya dalam tiga perlawanan di semua pertandingan.

Kali terakhir The Reds tidak bolos adalah ketika menentang Sheffield United yang menyaksikan pelawat menang 1-0 di laman lawan pada 28 September lalu.

Pada masa sama bekas tonggak Southampton berusia 28 tahun itu mengakui bahawa para pemain The Reds sememangnya mahu menang dengan cara terbaik tanpa bolos pada setiap perlawanan.

"Kami akan berusaha mengurangkan bolos pada perlawanan selepas ini biarpun pemain-pemain berada pada tahap terbaik mengekalkan momentum dalam pemburuan kejuaraan liga," kata Van Dijk.