IPOH - Terpengaruh dengan cerita menakutkan kononnya bersunat itu menyakitkan menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di sini beberapa kali menangguhkan proses berkhatan.
Syafiq Hakimie Samsol dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mutiara berkata, perasaan takut itu terbawa-bawa sejak berusia 8 tahun menyebabkannya rasa gemuruh setiap kali diminta bersunat.
"Kawan-kawan yang dah berkhatan selalu cerita yang bersunat tu sakitlah, susah nak baiklah, macam-macam lagi buatkan saya takut.
"Tapi itu dulu, sekarang saya dah berani, perasaan takut tu dah hilang, lagipun mak ayah dan cikgu cakap dah sampai masa, kalau tak sekarang bila lagi," katanya.
Anak sulung dari enam adik-beradik itu merupakan seorang daripada 100 kanak-kanak daripada keluarga asnaf menyertai Majlis Berkhatan BSN 2019 di Masjid Al Amaniah Attaiyibah, Kampung Seri Klebang di sini hari ini.
Syafiq Hakimie dan adiknya, Syakir Aiman, 10, terpilih dalam program berkenaan yang dibiayai sepenuhnya Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun dari 10 sekolah sekitar Chemor dan Ipoh.
Bapa mereka yang mengalami buta tidak lagi bekerja sementara ibu menyara keluarga menerusi perniagaan jualan tudung.
Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid pada sidang media berkata, program yang digerakkan di seluruh negara sejak 2012 itu menggunakan wang wakalah zakat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Katanya, ia sebahagian tanggungjawab sosial korporat BSN kepada masyarakat khususnya mereka yang kurang berkemampuan seperti keluarga asnaf bagi meringankan beban.
"Tahun lepas kita adakan di Pulau Pinang dengan penyertaan 60 orang dan alhamdulillah tahun ini, penyertaannya bertambah ke 100 orang.
"Melihat kepada sambutan baik ini memberi kami motivasi untuk terus komited melaksanakan tanggungjawab ini secara lebih meluas sejajar dengan visi BSN 'tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan'," katanya.
Menerusi program itu, BSN turut menyampaikan sumbangan RM200 kepada setiap peserta berkhatan yang telah didepositkan dalam akaun masing-masing sebagai bantuan am persekolahan.
Hadir sama, Pengarah BSN Negeri Perak, Mazlan Mat Jalil dan Pengerusi Masjid, Muhamad Isa Yatim Mustafa.