SHAH ALAM - Mana-mana kakitangan awam yang cuba mewujudkan keadaan 'deep state' (daulah terpendam) dengan mencabar kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan mensabotaj pentadbiran kerajaan perlu dikenakan tindakan tegas termasuk ditukarkan ke jabatan lain.
Perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) dari Pulau Pinang, Mohd Saifullah Abdul Nasir berkata, kesemua kakitangan awam seharusnya taat kepada kerajaan yang memerintah, namun ada antara mereka berani mencabar kerajaan sedia ada.
Menurutnya, keadaan itu tidak harus dibiarkan dan kepimpinan Amanah di peringkat pentadbiran kerajaan PH perlu bijaksana untuk menangani karenah serta cubaan sabotaj tersebut.
"Sekiranya mereka tidak taat kepada 'government of the day', pemimpin kita harus bijak menangani mereka dengan mengambil tindakan tegas.
"Jika perlu, tukarkan sahaja mereka ke kementerian lain atau masukkan mereka ke dalam 'peti ais' agar mereka sedar kerajaan sedia ada serius melaksanakan reformasi institusi pentadbiran negara," katanya sewaktu membahaskan Pidato Presiden Amanah sempena Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Sentimen sama turut dikongsi perwakilan dari Perak, Dr Fakhruldin Mohd Hashim yang menyifatkan kewujudan konflik di antara 'political master' dengan pelaksana pentadbiran negeri menyebabkan berlaku kekangan PH untuk melaksanakan agenda pentadbiran berintegriti.
Menurutnya, di sebalik pencapaian kerajaan PH di Perak yang berjaya melaksanakan 23 daripada 31 inisiatif manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ia hanya tercapai selepas kepimpinan PH negeri berdepan pelbagai kekangan dan konflik.
"Oleh itu pemimpin PH di peringkat negeri dan Pusat, termasuk menteri dan exco perlu lebih berani dan cerdik mendepani golongan pelaksana pentadbiran kerajaan yang bersikap regresif, sekali gus membuktikan kemampuan menangani konflik pengurusan pentadbiran dengan sebaik mungkin," katanya.