MELAKA - Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa tiada siapa yang boleh mengganggu atau memecahbelahkan sayap parti itu.
Perwakilannya, Nurainie Haziqah Shafii berkata, separuh daripada keahlian PKR adalah sayap Wanita dan mereka mempunyai autonomi membuat keputusan sendiri tanpa campur tangan mana- mana pihak.
"Sebab itu bila kita ada sayap Wanita, sesiapa pun jangan cuba untuk memecahbelahkan sayap Wanita. Sayap wanita ada autonomi sendiri. Kita boleh buat keputusan sendiri.
"Tidak patut ada kawalan daripada sesiapa, baik dari cabang negeri atau pun Pusat," katanya ketika berucap membahaskan dasar ucapan Presiden pada Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Dalam pada itu Nurainie berkata, wanita juga perlu diberikan platform sebagai pembuat keputusan sekiranya mahu golongan itu memikul tanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan.
Menurutnya, perkara tersebut antara dasar yang penting dalam memartabatkan wanita dalam tonggak utama negara.
"Bagaimana nak buat keputusan? Pertama, Melaka sebagai tuan rumah contohnya, lantik senator wanita.
"Kedua, contoh ahli majlis, beri 30 peratus. Kita tak minta 50 peratus tapi 30 peratus pun tak boleh dicapai," katanya.