MELAKA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyatakan taat setia dan berdiri teguh di belakang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perwakilan PKR Perak, Datuk M A Tinagaran berkata, susur galur PKR adalah daripada kasih sayang ahli parti itu kepada Anwar.
Menurutnya, gerakan reformasi bermula dengan kebangkitan rakyat membantah kezaliman terhadap Anwar dan keluarganya.
"Saya menyertai Keadilan pada masa itu, kita tidak pernah mempunyai apa-apa. Kita bersatu kerana muafakat itu (reformasi). Dari situ juga lahir perjuangan sebagai parti politik.
"Rakyat kini sedang menilai setiap langkah kita. PKR Perak hanya akan sokong Anwar Ibrahim," katanya ketika berucap membahaskan dasar ucapan presiden pada Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Sebelum ini dilaporkan pergeseran yang melibatkan Anwar dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sehingga mencetuskan ketegangan dalam kalangan penyokong dua pemimpin itu.
Sementara itu, Tinagaran turut menyentuh mengenai jurang kemiskinan yang merupakan realiti semasa meskipun parti itu sudah mentadbir negara.
Menurutnya, golongan kaya dan miskin masing-masing masih berada di tahap sama, malah golongan miskin semakin bertambah.
"Ini realiti. Sudah hampir berapa lama kita mengambil kerajaan. Roti Gardenia yang saya beli masih harga sama.
"Apa yang kita perjuangkan dulu masih tidak tercapai dan belum direalisasikan.
"Kalau kita lihat sistem perolehan kerajaan masih lagi dikuasai kontraktor-kontraktor golongan kartel keparat," katanya.
Perasmian kongres disempurnakan Anwar dengan kehadiran seramai 1,905 perwakilan seluruh negara dan 3,727 pemerhati.