PENEMBAK negara, Johnathan Wong gagal mempertahankan pingat emas dimenangi di Kuala Lumpur dua tahun lalu selepas sekadar menamatkan kedudukan di tempat keempat acara 10 meter (m) air pistol lelaki pada temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina hari ini.
Dalam aksi final di Pusat Latihan Marine Corps, penembak Sukan Olimpik Rio 2016 itu bermula agak perlahan selepas menamatkan kedudukan di tempat kelapan pada peringkat awal.
Iklan
Iklan
Atlet berusia 27 tahun itu bagaimanapun mempamerkan kebangkitan apabila memanjat satu demi satu kedudukan, namun langkah positif itu tersekat di pusingan ketujuh yang menyaksikan beliau hanya mampu membidik keseluruhan 194.0 mata sekali gus terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat terbaik.
"Saya rasa mungkin disebabkan rentak saya tidak berapa konsisten dan bila rentak mula tidak seperti diharapkan, saya pun mula jadi kurang keyakinan dengan tembakan saya. Itu juga mungkin antara punca kedudukan saya jatuh semula," katanya.
Pingat emas dimenangi penembak Thailand, Pongpol Kulchairattana yang membidik 240.5 mata, menewaskan juara Olimpik Rio 2016, Hoang Xuan Vinh dari Vietnam yang membidik pingat perak dengan 239.6 mata.
Gangsa turut menjadi milik atlet Vietnam, Tran Quoc Cuong yang mencatat 215.2 mata.
Johnathan merupakan pemenang pingat emas dalam acara itu ketika Sukan SEA 2017 yang menyaksikan beliau menewaskan Xuan Vinh yang meraih perak. - Bernama