Anwar gagal penuhi janji, kata Azmin

Iklan
Azmin (tengah) bersama sebahagian Ahli Pimpinan Pusat PKR pada sidang media yang diadakan petang tadi.

AYER KEROH - [VIDEO] Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa gagal memenuhi janji bagi memastikan perjalanan perbahasan pada Kongres Nasional Keadilan kali ke-14 hari ini berjalan tanpa sebarang unsur provokatif dan sindiran.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam pertemuannya bersama Anwar serta kepimpinan lain pada 4 Disember lalu telah mencapai beberapa persetujuan termasuk memastikan pembahas yang dipilih tidak menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak memandangkan ianya akan menggasir objektif kongres.

Iklan
Iklan

Menurutnya, presiden sendiri telah memberi jaminan bahawa kesemua pembahas akan mematuhi perimeter dan garis seperti yang dipersetujui.

Bagaimanapun menurut Azmin, ucapan Anwar yang bermula dengan sorotan klasik tentang kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar telah membuka laluan kepada para pembahas yang lain untuk terus melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan dan anggota PKR.

Iklan

"Ucapan-ucapan yang berlangsung hari ini dilihat hanya untuk mengangkat impian satu sosok dan menyerang serta melempar tohmahan kepada pimpinan yang lain.

"Hal ini sekaligus memperlihatkan kegagalan presiden untuk memenuhi janjinya bagi memastikan pembahas negeri patuh kepada perimeter ucapan yang telah dipersetujui," katanya pada sidang media yang diadakan bagi membacakan kenyataan bersama yang telah dipersetujui oleh 22 Ahli Majlis Pimpinan Pusat.

Iklan

Azmin berkata, antara perkara lain yang dicapai dalam pertemuannya bersama Anwar Rabu lalu iaitu bersetuju untuk mempertahankan tradisi dan konvensyen parti dalam perasmian bersama Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda dan Wanita PKR yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden.

Selain itu, ketetapan yang dibuat adalah untuk memastikan perbahasan oleh para pembahas di pentas kongres hanya akan memberi tumpuan kepada isu-isu dasar serta pengukuhan parti.

Turut dipersetujui ialah komposisi pembahas adalah adil mewakili semua pihak dengan jaminan membawa agenda parti.

Bagaimanapun, Azmin berkata, perbahasan yang berlangsung hari ini hanya terdiri daripada wakil-wakil yang dipilih dan dilakukan secara berat sebelah selain dilihat tidak membawa suara anggota akar umbi.

Disebabkan itu, Azmin berkata, beliau bersama pimpinan yang lain mengambil keputusan untuk meninggalkan dewan kongres kerana tidak mahu mendengar kenyataan-kenyataan yang berunsur provokatif dan melanggar semangat persaudaraan parti yang ditonjolkan dalam Kongres Nasional tahunan ini.

"Beberapa persetujuan yang dicapai sebelum ini telah pun dilanggar, tidak mungkin dan tidak munasabah untuk kami duduk dalam dewan mendengar serangan-serangan yang bersifat provokatif.

"Jadi lebih baik kami tidak mendengar kerana ini akan menimbulkan ketegangan lagi di peringkat akar umbi dan anggota," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan hadir pada hari terakhir kongres esok, Azmin berkata, beliau akan hadir sekiranya pihak berkenaan ada sikap yang lebih bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan.

"Setakat ini perjanjian yang dipersetujui telah pun dilanggar, jadi apa yang anda jangkakan akan berlaku dalam tempoh 24 jam.

"Kalau kami Ini pengkhianat dan tidak cinta kepada parti, kami tidak akan hadir sejak perasmian lagi tetapi saya dan kepimpinan yang lain telah memenuhi janji untuk hadir ke kongres ini kerana ini kongres parti kami," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan perwakilan yang turut meninggalkan dewan kongres sehingga menyebabkan hampir separuh kerusi kosong, Azmin berkata, perwakilan pada hari ini telah cukup matang.