Dua gimnas negara meraih dua pingat emas selepas kontinjen negara membuat bantahan terhadap keputusan juri selepas Izzah Azman dan Koi Sie Yan mengumpul mata sama dalam acara aparatus riben wanita pada temasya Sukan SEA Filipina 2019 di sini, hari ini.
Kedua-dua gimnas itu masing-masing meraih 15.200 mata tetapi juri mengisytiharkan Sie Yan sebagai pemenang pingat emas manakala Izzah di tempat kedua berdasarkan perbezaan tahap kesukaran melakukan rutin.
Bagaimanapun, Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), yang berada venue pertandingan di Kompleks Sukan Memorial Rizal di sini, membuat bantahan terhadap keputusan awal juri sebelum kedua-dua gimnas negara diisytihar pemenang emas.
Berikutan bantahan itu, majlis penyampaian pingat ditangguhkan lebih sejam sebelum keputusan memuktamadkan menyaksikan dua gimnas negara mendapat pingat emas.
Tiada pemenang pingat perak bagai acara itu dengan gimnas Thailand, Nat Kulsanawong membawa pulang pingat gangsa selepas mengumpul 14.050 mata.
Insiden seperti itu bukan baharu dalam sukan gimrama selepas insiden sama turut berlaku pada temasya Sukan SEA 2015 Singapura apabila Sie Yan berkongsi pingat emas dengan rakan sepasukan, N Shasangari Sivaneswari dalam acara individu keseluruhan.
Pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), gimnas artistik negara, Tan Fue Jie dan Jeremiah Loo turut diisytiharkan sebagai pemenang emas acara kekuda pelana lelaki.
Sementara itu, Izzah sudah pasti menjadi gimas paling gembira di sini selepas menghadiahkan dua emas dan satu pingat perak hari ini.
"Kami berdua melakukan yang terbaik dan masing-masing berhak untuk menang. Gimrama adalah sukan subjektif dan sebagai atlet, tugas kami untuk menampilkan aksi yang terbaik dan keputusan terletak di tangan juri,” kata gimnas berusia 19 tahun selepas majlis penyampaian pingat.
Sie Yan, yang menang pingat perak acara belantan, berkata: ” Ia sangat berbangga untuk berdiri di podium bersama-sama sebagai pemenang emas dalam acara yang sama...ia adalah emas tambahan untuk negara dan sangat gembira untuk berkongsi.”
Terdahulu, Izzah mempertahankan emas dimenangi dua tahun lalu bagi aparatus bola selepas mengumpul 17.800 mata manakala gimnas Thailand, Kulsanawong (16.300 mata) dan Daniela Reggie Dela Pisa (15.600 mata) dari Filipina masing-masing merangkul pingat perak dan gangsa.
Dalam satu lagi keputusan yang didakwa kem Malaysia sebagai berat sebelah, Izzah dan Amy Kwan Dict Weng masing-masing merangkul pingat perak dan gangsa manakala pingat emas dimenangi Daniela Reggie.
Izzah mengumpul 16,500 mata, Amy Kwan 15,900 mata manakala Daniela Reggi pula mengutip 17,750 mata.
Skuad gimnas negara mengakhiri saingan dengan pasukan wanita yang dibarisi Chan Mei Thung, Eu Jia Xin, Koh Jei Yi, Lee Xin Yao, Lim Chyi Ean dan Shak Yuki, dengan mempertahankan emas acara keseluruhan.
Skuad gimnas negara menamatkan saingan Sukan SEA 2019 dengan membawa pulang empat emas daripada lima acara selepas menyapu bersih lapan emas yang ditawarkan pada edisi KL2017. - Bernama