MELAKA TENGAH - Kita tidak boleh kawal, kata Presiden Parti Keadilan (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas tindakan ratusan perwakilan yang keluar dewan Kongres Nasional PKR di sini hari ini.
Rata-rata perwakilan terbabit tidak berpuas hati dengan perjalanan kongres apabila perwakilan yang dibenarkan berucap kebanyakannya dikatakan mengkritik Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Anwar berkata, perkara itu di luar kawalannya dan dalam masa sama menegaskan bahawa dewan kongres masih lagi dipenuhi perwakilan walaupun ada perwakilan yang bertindak keluar ketika perbahasan.
"Kita hanya boleh nasihat, jangan ada kenyataan yang boleh menyinggung atau menyebut nama-nama, sampai tak boleh tegur macam mana.
"Diaorang (perwakilan) tegur orang yang tidak hadir mesyuarat ke, (berkaitan) disiplin ke saya nak larang macam mana? Yang kita boleh kita tegur, saya dah bagi, 'set' dalam ucapan dasar," katanya hari ini.
Beliau berkata, ucapan perwakilan terpulang kepada perwakilan itu sendiri dan sukar untuk mengawal ucapan yang disampaikan oleh setiap perwakilan.
"Hendak control ucapan perwakilan susahlah. Perwakilan itu dipilih oleh negeri bukan dipilih oleh negeri bukan sekretariat tapi boleh tanya penjelasan Setiausaha (Pengelola Parti), Nik Nazmi (Nik Ahmad)," katanya.
Sementara itu, Azmin dalam sidang media berasingan berkata, tindakan meninggalkan sesi itu susulan berlakunya beberapa insiden yang membuka laluan kepada pembahas melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan dan ahli PKR.
Menurutnya, insiden bermula dengan ucapan Anwar yang mengucapkan sorotan klasik mengenai kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka laluan kepada pembahas untuk terus melakukan serangan peribadi.
Mengulas perkara itu, Anwar bagaimanapun menafikan sorotan klasik kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar merujuk kepada mana-mana pihak termasuk timbalan presidennya sebaliknya adalah kisah sejarah.
"Eh, itu sejarah Melayu. Kalau dia (Azmin) terasa itu masalah dia bukan masalah saya. Itu kenyataan sejarah dalam Sulalatus Salatin," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Anwar gagal penuhi janji, kata Azmin
Tak puas hati, perwakilan PKR keluar dewan beramai-ramai