UMNO ikrar tolak kerajaan pintu belakang

Iklan
Ahamd Zahid ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di PWTC, Kuala Lumpur. - FOTO ZAHID IZZANI

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen dari UMNO diketuai Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikrar akan bersatu hati dan hanya membentuk kerajaan melalui pintu hadapan.

Ikrar tersebut dilaungkan Ahmad Zahid di hadapan ribuan perwakilan parti ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Beliau turut menasihatkan perwakilan agar tidak mendengar khabar angin dalam media sosial mendakwa wujud cubaan membentuk kerajaan pintu belakang membabitkan Ahli Parlimen UMNO.

"Janganlah dengar cerita dalam media sosial, jangan dengar cerita dari batu-batu api terhadap rakan-rakan yang menjadi ahli Parlimen yang dikatakan cuba untuk berunding dengan seseorang dari pintu belakang.

Iklan

"Saya telah bertemu dengan mereka semua, mereka beri jaminan kepada saya bahawa mereka akan terus, tetap sebagai Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan semua ahli Parlimen tersebut baru-baru ini bagi membincangkan isu berkenaan.

Iklan

"Kami telah buat keputusan ketika kami bertemu bahawa kami telah sepakat.

"Sebarang tindakan yang akan dilakukan ialah tindakan secara bersama, secara bersatu. Noktah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyatakan iltizam beliau untuk memastikan bahtera UMNO diketuainya akan belayar, menempuh badai dan gelora politik dalam apa jua keadaan.

"Saya tidak akan membiarkan bahtera ini tersasar dari haluannya, sama sekali tidak akan membenarkan ia ditebuk dari dalam.

"Sama sekali kita tidak akan bertelagah antara nakhoda, juragan dan kelasi. Kita akan belayar dalam satu bahtera, satu nakhoda, satu cita-cita sehingga UMNO kembali berkuasa,” katanya.