KUANTAN - Isu membawa pulang abu Chin Peng ke Malaysia tanpa pengetahuan pihak berkuasa, Jalur Gemilang bintang bucu lima dan kebenaran menganjurkan ekspo tatu separuh bogel jelas menunjukkan usaha halus sedang dilaksanakan untuk menyerap ideologi dan budaya komunisme di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, perkara tersebut yang berlaku tanpa kawalan boleh memberi ancaman kepada keharmonian dan kemakmuran negara ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran mendakwa, usaha sebegini seakan menyerlahkan penguasaan DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Banyak perkara lain yang kita nampak DAP menguasai kerajaan hari ini. Walau mereka nafikan DAP parti dominan dalam PH tapi akhir-akhir ni tindak tanduk mereka menunjukkan yang DAP memang mempunyai kuasa yang lebih daripada parti-parti lain yang bergabung di bawah PH.
"Kita bukan rasis. UMNO tidak menentang bangsa Cina tapi kita menentang ideologi dan budaya yang dibawa DAP. Saya sungguh risau keadaan politik hari ini," katanya kepada Sinar Harian.
Shahaniza berkata, ada sebab kerajaan pada masa dahulu tidak membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia.
"Meskipun orang kata itu sekadar abu sahaja. Setakat abu sahaja tak boleh buat apa-apa tapi jauh di sebaliknya itu adalah simbol kepada ideologi komunisme yang tak sepatutnya kita sokong.
"Apabila dibawa pulang tanpa pengetahuan pihak berkuasa ia adalah sesuatu yang saya kira perlu lihat kembali," katanya.