KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan semua ahli parti itu agar tidak terlalu ghairah mendedahkan strategi yang dirancang kepada pihak lawan.
Menurutnya, setiap strategi harus dirahsiakan sebagai senjata untuk digunakan dalam menghadapi pesaing nanti.
"Jangan ditelanjangkan sangat (strategi) UMNO ini. Rahsia tetap rahsia kita, janganlah didedahkan sangat itu kita hendak buat, ini kita hendak buat.
"Perkasakan strategi kita khas untuk kita. Jangan kita terbawa-bawa sangat sehinggakan Muafakat Nasional seolah satu jaminan kita nak ambil kerajaan," katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Mohamad berkata, meskipun Muafakat Nasional telah memberikan impak positif namun ia belum boleh menjamin kemenangan kepada pembangkang.
"Tidak. Kita jauh lagi daripada itu," katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad turut menegaskan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menjadi kayu pengukur sebenar kepada parti sama ada diterima kembali oleh rakyat atau sebaliknya.
Katanya, UMNO perlu 'berhenti' daripada menjadi pejuang bangsa jika gagal memenangi PRU15 nanti.
"Kalau kita tidak menang PRU15, baik kita berhenti jadi pejuang bangsa kerana ia jadi titik tolak untuk kita bangun semula," katanya.