Jason, Nurul Hidayah rangkul emas poomsae campuran

Iklan
Atlet taekwando negara, Nurul Hidayah Abdul Karim dan Jason Loo Jun Wei memenangi pingat Emas dalam acara 'recognized poomsae berpasangan campuran' pada Sukan SEA Manila 2019 di Rizal Memorial Sports Complex hari ini. - fotoBERNAMA

MANILA - Biarpun baru digandingkan kurang dari enam bulan yang lalu, pasangan Jason Loo Jun Wei/Nurul Hidayah Abdul Karim hari ini berjaya melakar kejayaan sebagai juara acara poomsae berpasangan campuran Sukan SEA ke-30 di Stadium Ninoy Aquino, hari ini.

Pasangan itu berjaya memperagakan teknik yang tangkas dan penuh karismatik untuk meraih emas dengan 8.283 mata, mengatasi pencabar dari skuad tuan rumah, Dustin Jacob Mella/Rinna Babanto yang mengejar rapat dengan 8.233 mata.

Iklan
Iklan

Ia juga merupakan penampilan pertama di Sukan SEA bagi Jason, 18, manakala penampilan kedua bagi Nurul Hidayah, 21, yang beraksi dalam acara poomsae berpasukan wanita pada edisi lalu.

"Pada hari ini kami cuba melakukan yang terbaik walaupun kali pertama kali beraksi dalam temasya ini secara bersama. Kami berjaya melakukannya kerana kami banyak fokus dalam meningkatkan ‘timing and synchronisation’,” kata Nurul Hidayah yang membentuk gandingan dengan Jason sejak Jun lalu.

Iklan

Penggempur dari Thailand, Pattarapong Sengmueang/Phenkanya Phaisankiattikun (8.099) meraih perak manakala gandingan Indonesia, I Kadek Dwipayana/Defia Rosmaniar (7.866) pulang dengan pingat gangsa.

Pada hari pertama saingan taekwondo membuka tirai, Malaysia turut meraih dua gangsa menerusi acara poomsae individu lelaki dan berpasukan lelaki.

Iklan

Pemenang pingat perak acara individu lelaki di Kejohanan Terbuka Asia di Vietnam, Augustine Rudy Grocer meraih gangsa bersama atlet dari Myanmar, Sun Shine apabila kedua-dua atlet itu meraih 7.849 mata.

Emas menjadi milik peserta tuan rumah, Rodolfo Reyes Jr. yang mencatatkan 8.349 mata manakala atlet dari Thailand, Pattarapong Sengmueang meraih gangsa dengan 8.199 mata.

Jason dan Augustine kemudian berganding dengan Yong Jin Kun untuk membawa pulang pingat gangsa acara poomsae berpasukan lelaki dengan catatan 7.983 mata, manakala Filipina (8.483) dan Vietnam (8.416) masing-masing meraih emas dan perak. - Bernama