SHAH ALAM - Air Selangor menyasarkan peningkatan 25 peratus pelanggan yang menggunakan perkhidmatan e-bil pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, buat masa ini lebih 400,000 pengguna menggunakan e-bil ini.
"Kita menyasarkan sebanyak 600,000 lagi pengguna untuk beralih menggunakan perkhidmatan e-bil ini pada tahun hadapan.
"Ketika ini, Air Selangor mempunyai lebih 2.4 juta akaun pengguna domestik dan komersial," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Karnival e-bil Air Selangor yang diadakan bertempat di SACC Mall di sini semalam.
Mengulas lanjut mengenai penganjuran Karnival e-bil Air Selangor, Suhaimi berkata, program ini untuk mendekati pengguna secara terus dengan mensasarkan kepada beberapa aktiviti perkhidmatan kaunter untuk membantu pelanggan.
"Selain daripada pendaftaran e-bil, Air Selangor turut membuka kaunter untuk pendaftaran Skim Air Darul Ehsan.
"Penduduk di negeri Selangor khususnya golongan B40 digalakkan mendaftar dengan Skim Air Darul Ehsan di bawah Inisiatif Peduli Rakyat Selangor 2019," katanya.