AYER KEROH - Kelibat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan sehingga jam 10 pagi pada hari terakhir Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke-14 di sini pagi ini.
Ketidakhadiran pemimpin kedua tertinggi parti itu sudah dijangkakan selepas beliau semalam bersama pimpinan lain melahirkan rasa kecewa terhadap presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa tidak memenuhi janji bagi memastikan perjalanan perbahasan sepanjang kongres semalam berjalan tanpa sebarang unsur provokasi dan sindiran.
Selain Azmin, beberapa Ahli Majlis Pimpinan Pusat lain yang turut tidak kelihatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini termasuk tiga Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju serta Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha.
Mengikut jadual, kesemua mereka masing-masing akan menyampaikan ucapan penggulungan pagi ini, namun sehingga jam 9.30 pagi kesemua mereka yang dikatakan tim' Azmin tidak berada di dalam dewan walaupun persidangan kongres sudah bermula.
Tinjauan Sinar Harian turut mendapati dewan persidangan masih belum dipenuhi perwakilan dan bermungkinan terdapat unsur boikot pada hari terakhir kongres yang akan berlangsung sehingga jam 2 petang nanti.
Azmin dijadualkan akan menyampaikan ucapan penggulungan pada jam 11.30 pagi dan disusuli ucapan Anwar sebelum kongres tahunan parti itu melabuhkan tirainya hari ni.
Dalam persidangan kongres semalam, Azmin bersama 21 Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR yang lain bertindak keluar dewan ketika sesi perbahasan sedang berlangsung.
Mereka berbuat demikian kerana tidak mahu mendengar kenyataan pembahas yang berunsur provokatif dan melanggar semangat persaudaraan parti yang ditonjolkan dalam kongres nasional tahunan ini.
Azmin pada sidang media petang semalam berkata, ucapan Anwar yang bermula dengan sorotan klasik tentang kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar telah membuka laluan kepada para pembahas yang lain untuk terus melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan dan anggota PKR.
Katanya, apa yang berlaku pada persidangan semalam bertentangan dengan beberapa ketetapan dicapai dalam pertemuannya dengan Anwar pada 4 Disember lalu bagi menangani krisis kepimpinan dalam parti berasaskan beberapa persetujuan.
Antara persetujuan dibuat adalah meneruskan tradisi Timbalan Presiden untuk merasmikan sayap wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Perbahasan oleh para pembahas di pentas kongres pula hanya akan memberi tumpuan kepada isu-isu dasar serta pengukuhan parti selain pembahas harus memberi tumpuan untuk mempersadakan hala tuju dan masa depan PKR.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju supaya komposisi pembahas adalah adil mewakili semua pihak dengan jaminan membawa agenda parti.
Akhir sekali, pembahas juga tidak dibenarkan menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak memandangkan ianya akan menggasir objektif kongres.
"Presiden telah memberi jaminan bahawa kesemua pembahas akan mematuhi perimeter dan garis seperti yang dipersetujui, namun perjanjian ini telah dilanggar," katanya.