MELAKA TENGAH - Semangat perwakilan pada hari terakhir Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-14 disemarakkan dengan nyanyian nasyid, Teman Sejati.
Lagu tersebut disampaikan penyanyi, Yasin Sulaiman di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pagi ini.
Lebih menghidupkan suasana apabila perwakilan bangun dan menyanyi bersama sambil menghidupkan lampu telefon bimbit masing-masing, sekali gus 'menerangi' suasana dewan yang dipenuhi lebih 5,000 orang termasuk pemerhati.
Yasin yang turut menyampaikan tiga lagu dimulai Salsabila diikuti Perjuangan dan Reformasi memberitahu perwakilan bahawa lagu Teman Sejati adalah permintaan Pengerusi Penasihat Majlis PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dia kemudian dilihat mempelawa Wan Azizah ke hadapan pentas untuk menyanyi bersama, namun ditolak.
Walaupun demikian, ketika lagu tersebut sedang dinyanyikan, barisan pemimpin utama PKR yang berada di atas pentas tampil menyanyi bersama.
Pengerusi Tetap PKR, Datuk Ahmad Kassim berkata, lagu berkenaan ternyata menaikkan semangat perjuangan perwakilan.