BERAS Cap Rambutan mementingkan kualiti dan keselamatan makanan serta memiliki sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 13 tahun lalu.
Pengarah Jualan OEL Holdings, Sam CL Khor berkata, Cap Rambutan yang ditubuhkan pada 1983 di Kedah mempunyai pengalaman selama 36 tahun dalam industri padi dan beras negara.
Menurutnya, status halal penting dalam pasaran bagi membolehkan pengguna menggunakan beras Cap Rambutan tanpa sebarang keraguan.
"Bukan mudah Jakim mengeluarkan sijil halal ini kerana perlu mematuhi prosedur ketat termasuk penilaian daripada segi kebersihan, keselamatan makanan dan barang penggunaannya, barulah ia diiktiraf.
"Selain menjaga kualiti dan keselamatan makanan, syarikat turut mengutamakan servis dan perhubungan pelanggan selari dengan tagline Kami Dengar, Kami Prihatin, Kami Sampaikan.
"Kami percaya dengan adanya hubungan erat dengan pelanggan dapat mendengar apa yang mereka inginkan dan barulah kami dapat menghasilkan produk yang berkualiti secara berterusan untuk pelanggan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gala Anugerah Asia Halal Brand (AHBA) 2019 di Hotel Shangri La di sini malam kelmarin.
Pada majlis berprestij itu, Beras Cap Rambutan menang kategori Best Healthy Rice yang anugerahnya disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi kepada Pengarah Urusan OEL Realty Holdings Sdn Bhd, Heng Kuan Chor.
Kuan Chor berkata, kemenangan itu penting untuk meningkatkan keyakinan pengguna dalam pasaran untuk memilih beras Cap Rambutan sebagai pilihan utama
"Cap Rambutan membuktikan beras keluaran OEL Realty Holdings adalah selamat, suci dan bersih serta mengikut piawaian ditetapkan oleh Jakim.
"Pengguna boleh gunakannya tanpa ada keraguan dan harapan saya ia akan menambahkan lagi penjualan Cap Rambutan dalam pasaran tempatan pada masa akan datang,” katanya.
Lebih 50 anugerah AHBA 2019 diberikan kepada syarikat dan usahawan yang berjaya dalam industri halal.
Majlis itu dianjurkan oleh Armani Media dan mendapat sokongan daripada Jakim serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).
Penganugerahan dinilai oleh barisan panel enam panel antaranya Selebriti Chef, Datuk Redzuan Ismail (Chef Wan), wakil Jakim, Mohd Asri Abdullah dan Indonesia Halal Lifestyle Center, Dr H Sapta Nirwandar.