KUALA TERENGGANU - Seorang wanita berdepan detik mencemaskan selepas pisau pemotong sayur dipegangnya terjatuh dan tertusuk di paha kirinya, dalam kejadian di Jalan Sultan Sulaiman berhampiran di sebuah flat di bandar raya ini, hari ini.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa yang berusia 22 tahun sedang berada di dalam kereta.
Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa dikatakan mengambil pisau yang berada di atas tempat duduk kereta tetapi terlepas dan tertusuk di paha kirinya.
"Beberapa minit kemudian, rakan lelaki mangsa datang dan terkejut melihat keadaan mangsa, terus membawanya ke sebuah klinik di Jalan Tok Lam, di sini untuk rawatan.
"Bagaimanapun, doktor terbabit meminta mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana pendarahan yang banyak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mangsa dibawa ke HSNZ menggunakan ambulan dan menerima dua jahitan di pahanya sebelum dibenarkan pulang.
Kejadian itu menjadi tular di laman sosial Facebook selepas wanita ini rebah di klinik ketika menunggu ambulan datang untuk membawanya ke hospital.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Katanya, tiada sebarang unsur jenayah berkaitan kejadian itu kerana kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa.