IPOH - Tiga remaja lelaki ditahan selepas dikesan beraksi berbahaya dengan basikal lajak dalam satu operasi samseng jalanan di sekitar bandar Ipoh malam tadi.
Operasi kira-kira jam 12 malam dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu turut merampas tiga basikal lajak yang digunakan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, tiga remaja itu dikesan menunggang basikal lajak secara meniarap di laluan Jalan Yang Kalsom sekitar jam 1 pagi.
Menurutnya, anggota yang terlihat aksi itu segera menghampiri kumpulan berkenaan untuk diperiksa.
"Setelah disiasat didapati, remaja itu sebenarnya dalam perjalanan balik ke rumah dari sebuah kedai makan, kebetulan terserempak dengan anggota polis yang menjalankan operasi.
"Memandangkan waktu awal pagi dan bahaya membenarkan mereka balik sendiri, anggota telah membawa mereka ke balai trafik untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, polis kemudiannya menghubungi keluarga remaja terbabit dan memberikan nasihat serta penerangan tentang Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan sepatutnya.
"Setelah itu penunggang basikal bersama penjaga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.
Katanya, biarpun remaja berkenaan tidak bermain di tempat yang menjadi tumpuan ramai, saman tetap dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
"Sebanyak 15 saman telah dikeluarkan atas kesalahan antaranya tidak memasang lampu, tiada brek dan ubah suai struktur basikal, manakala tiga basikal disita mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Dalam operasi sama, polis turut memeriksa 74 pengguna jalan raya lain dan 58 motosikal.