"JANGAN keluar dari kereta untuk ke pondok tambah nilai Touch 'n Go (TnG)," demikian nasihat pemilik akaun Facebook Zul Hazlie kepada pengguna lebuh raya yang berdepan masalah kekurangan baki kad TnG.
Menurutnya, pengguna jalan raya yang menghadapi situasi itu hanya perlu menekan butang intercom sehingga staf PLUS Malaysia Berhad (PLUS) tiba.
Berkongsi pengalamannya, Zul Hazlie berkata, pegawai bertugas di plaza tol menasihatinya supaya berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini ketika melintas lorong ke lorong untuk tambah nilai kad TnG.
"Pihak PLUS beritahu, jika kita keluar tol dan tiba-tiba baki tak cukup, kita perlu tekan butang intercom dan tunggu 'runner' PLUS datang.
"Runner akan bantu kita untuk tambah nilai dan serahkan semula kad TnG kita.
Katanya, pengguna jalan raya yang menghadapi situasi itu perlu bertenang dan jangan panik.
"Jika kenderaan belakang anda dah bunyikan hon sebab marah ke apa, tenangkan diri sehingga sampai runner PLUS datang.
"Sekali lagi, jangan keluar dari kereta dan pergi ke pondok tambah nilai," ujarnya.
Zul Hazlie juga memberitahu adalah satu kesilapan sekiranya staf terbabit meminta pengguna datang sendiri ke pondok tambah nilai.
"Jika runner di tol itu mengarahkan pengguna untuk datang sendiri ke pondok tambah nilai, maka dia telah melanggar SOP dan pengguna dinasihatkan buat aduan segera.
"PLUS sendiri akui ada keadaan di mana pengguna memang tidak boleh untuk tinggalkan kereta. Contohnya, memang tak boleh berjalan (OKU), wanita sarat mengandung atau pun ada bayi dalam kereta.
"Jadi lepas ini, terutama wanita-wanita. Kalau berlaku baki tidak mencukupi, terus tekan 'button' intercom dan tunggu bantuan runner," katanya.
Bagaimanapun Zul Hazlie juga berharap agar jadilah pemandu berhemah untuk pastikan nilai TnG mencukupi.
"Lebih bagus jika kita pastikan kad kita cukup baki tapi ada juga keadaan di mana sesetengah dari kita yang nasib tak berapa baik. Bila nak keluar itulah baki tak cukup.
"Kita jangan marah-marah dan hon berkali-kali bila nampak ada pengguna yang tak cukup baki. Hari ini hari dia susah. Esok lusa entah-entah hari kita pula," jelasnya.
Posting itu mendapat perhatian netizen dan rata-ratanya bersetuju dengan kenyataan berkenaan.
"Saya dah kena sekali, punyalah bising hon-hon. Betul ada jurutol datang membantu, kita pasti sebelum masuk lebuh raya siap tambah nilai secukup," kata Zulhawi Kamaruddin.