MELAKA TENGAH - Rakyat memilih Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu bagi membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah untuk memperbaiki negara yang terkesan akibat pemerintahan terdahulu, bukan bercakaran sesama sendiri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata, sebagai kawan, pemimpin serta anggota PKR dinasihatkan terbuka untuk menegur dan menerima teguran antara satu sama lain bagi membaiki diri.
"Teruskan ukhuwah sesama kita. Kalau sesiapa kata Kak Wan (Dr Wan Azizah) ini tidak betullah, tidak betul yang ini, okey. Saya ambil maklum dan perbaiki diri sendiri.
Dalam nada berterus-terang, Dr Wan Azizah yang merupakan Presiden pertama parti berusia 20 tahun itu dilihat mengingatkan perkara itu kepada perwakilan dan anggota PKR rentetan kemelut yang melanda parti itu sejak akhir-akhir ini.
Anggota PKR juga diingatkan supaya tidak sama sekali tewas dengan ujian yang berupa kekuatan, kekayaan, pangkat dan jawatan apabila kini menjadi parti pemerintah dan membentuk kerajaan untuk mentadbir negara.
Beliau berkata, apa yang diperlukan PKR dalam mendukung usaha demi membela rakyat adalah anggotanya untuk kekal dalam sebuah perjuangan yang ikhlas seperti mana perjuangan parti itu sejak dua dekad lepas.
"Saya naik (dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri) adalah kerana sumbangan setiap orang (pejuang dan reformis PKR). Biar kita ingat diri kita, saya ingat diri, saya ingat setiap pejuang kita, saya amat hargai. Perjuangan ikhlas itu yang kita mahu, keikhlasan itu tidak boleh dibeli dan tidak ada nilai harganya," katanya dengan tegas penuh semangat.
Beliau berkata, sememangnya perbezaan itu ada antara pemimpin dan anggota PKR, namun apa yang penting perjuangan semua mesti berada di hala tuju yang sama. - Bernama