Tiga nelayan terkandas di Pulau Kendi diselamatkan

Iklan
Operasi SAR digerakkan APMM Kuala Kurau berjaya menyelamatkan tiga nelayan tempatan yang terkandas selepas bot dinaiki mengalami kerosakan enjin dan hanyut.

PARIT BUNTAR - Gerakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kurau berjaya menyelamatkan tiga nelayan tempatan yang terkandas di kawasan Pulau Kendi, Pulau Pinang sejak Jumaat lalu.

Ketiga-tiga mereka berusia lingkungan 30 hingga 48 tahun ditemui dalam keadaan selamat kira-kira 16 batu nautika dari Tanjung Piandang sekitar 7.30 petang semalam.

Iklan
Iklan

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, gerakan mencari dilakukan selepas mendapat laporan daripada isteri mangsa memaklumkan bot dinaiki tiga nelayan itu mengalami kerosakan enjin dan hanyut.

"Mereka keluar ke laut dengan menaiki sebuah bot gentian kaca pada 6 Disember lalu untuk menangkap ikan namun tidak pulang sehingga semalam.

Iklan

"Bot Maritim KILAT 30 kemudiannya telah diaturgerakkan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada jam 4.23 petang.

"Semua mangsa ditemui selamat atas bot berkenaan pada jam 7.34 petang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Semua mangsa yang berasal dari Tanjung Piandang di sini telah dibawa ke Jeti Kampung Air Hujan untuk rawatan kecemasan awal.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sharenliza berkata, pihaknya kini sedang mengesan sebuah kapal jenis tanker yang dilaporkan berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 39.5 batu nautika Barat Daya Kuala Kurau, sejak 5 Disember lalu.

Menurutnya, kapal dengan tanda nama SALVANA III berasal dari Panama itu gagal menuruti arahan menurunkan tangga kapal bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.

"Selepas beberapa kali arahan menurunkan tangga kapal tidak dipatuhi, kapal tersebut telah membongkar sauh dan terus beredar dari lokasi.

APMM Kuala Kurau sedang mengesan sebuah kapal yang dilaporkan berlabuh tanpa kebenaran.

"Bantuan dari APMM Perak dan Pulau Pinang telah diminta untuk mengesan dan menahan kapal tersebut.

"Satu laporan polis juga akan dibuat berdasarkan kesalahan bersauh tanpa kebenaran di bawah seksyen 491 B (I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya.