TAWAU - Hasrat tiga lelaki untuk berjoli hasil barangan curi bernilai RM100,000 tidak kesampaian apabila mereka ditahan polis kira-kira 14 jam selepas kegiatan mereka disedari mangsa.
Suspek berumur lingkungan 20 hingga 29 tahun itu ditahan sepasukan anggota Balai Polis Bombalai antara 8.20 pagi hingga 12 tengah hari, semalam.
Suspek iaitu dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia berkenaan dilaporkan mencuri barangan berharga dari sebuah rumah di Kampung Haji Matahir di sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kes kecurian itu disedari berlaku selepas pengadu berusia 32 tahun pulang dan mendapati pintu hadapan rumahnya terbuka pada jam 10 pagi.
"Pengadu yang membuat pemeriksaan di dalam rumah mendapati barang-barang berharga yang disimpan di dalam dua beg tangan hilang disyaki dicuri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku melakukan jenayah curi berkenaan dan siasatan masih diteruskan.
Peter berkata, antara barangan yang dicuri dan berjaya dirampas semula wang tunai RM7,000 pelbagai not, dua utas rantai emas, loket emas dan tiga utas gelang emas pelbagai saiz.
"Polis turut merampas sebentuk cincin emas, selain tiga telefon bimbit pelbagai jenama serta seunit bank kuasa," katanya.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Bernama