PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah akan mengadakan lawatan kerja pertama ke Filipina sejak memegang jawatan itu selama tiga hari mulai hari ini, menurut Wisma Putra.
"Lawatan itu akan memberi peluang kepada menteri-menteri untuk membincangkan kerjasama dua hala serta isu-isu kepentingan bersama serantau dan antarabangsa selain isu-isu yang dibincangkan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Manila pada Mac tahun ini," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Iklan
Iklan
Semasa lawatan itu, Saifuddin dijadual bertemu rakan sejawatannya, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro L Locsin Jr.
Filipina merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara ASEAN dan kelima belas rakan dagang terbesar di dunia. Jumlah dagangan Malaysia dengan Filipina pada 2018 mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 8.8 peratus berjumlah AS$6.45 bilion daripada AS$5.93 bilion pada 2017.
"Eksport meningkat 8.4 peratus kepada AS$4.17 bilion, manakala import bertambah 8.7 peratus kepada AS$4.17 bilion," menurut kenyataan itu. - Bernama