Hasrat jadikan Pulau Tuba sebagai destinasi pelancongan luar bandar

Iklan
Rina menanam pokok cempedak madu sambil disaksikan para penduduk desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Teluk Berembang pada program pembangunan yang dilaksanakan di Pulau Tuba hari ini. -Foto Bernama

LANGKAWI - Kementerian Pembangunan Luar Bandar berhasrat menjadikan Pulau Tuba di sini sebagai antara destinasi pelancongan luar bandar menarik bagi negeri di kawasan utara.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, untuk itu buat permulaan, pihaknya menumpukan projek menaik taraf di Desa Keda Teluk Berembang dengan menyediakan peruntukan khas sebanyak RM2 juta bagi membangunkan infrastruktur di situ.

Iklan
Iklan

"Kita nak jadikan rumah dekat sini dicat warna-warni dengan lebih meriah, selain itu sudah pasti kita nak bantu tingkatkan pendapatan mereka (penduduk). Kita lihat beberapa sektor boleh dibangunkan sebagai contoh dari segi untuk pelancongan, kita nak jadikan pelancongan luar bandar.

"Kita mulakan di Kampung Teluk Berembang ini dahulu, kemudian kita akan luaskan skop itu ke Pulau Tuba keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja beliau ke Pulau Tuba hari ini.

Iklan

Rina berkata, terdapat pelbagai produk pelancongan di Pulau Tuba yang dapat menarik perhatian pelancong antaranya hasil laut seperti koral selain keropok lekor dan kolam penternakan ikan yang menjadi nilai tambah kepada pulau itu.

Untuk rekod, di Pulau Tuba terdapat hampir 5,000 penduduk daripada tujuh kampung di situ dan sebanyak 40 rumah di Desa Keda Teluk Berembang terlibat dalam Projek Colourful House. - Bernama

Iklan