PELARI pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi muncul sebagai individu terpantas di rantau Asia Tenggara selepas meraih emas acara 100 meter Sukan SEA Filipina 2019.
Haiqal melepasi garisan penamat acara riben biru itu dengan catatan 10.35 saat (s) meninggalkan dua atlet daripada Thailand Sowan Ruttanapon 10.49s dan Bandit Chuangchai 10.52s.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menerusi Khairul Hafiz Jantan dengan rekod 10.38s.
Meskipun catatan tersebut tidak mampu memecahkan rekod kebangsaan 10.18s milik Khairul Hafiz tetapi ia cukup untuk meletakkan dirinya sebagai jaguh di rantau ini.
Cukup teruja dengan kemenangan itu, Haiqal menyatakan ia untuk seluruh rakyat Malaysia.
"Saya bagaikan tidak percaya ia berlaku (kemenangan pingat emas) dan rasa teruja," katanya.
Sementara itu seorang lagi pelari negara, Jonathan Nyepa ditempat keempat dengan 10.60s.
Bagi acara wanita pula, Zaidatul Husniah Zulkifli gagal mempertahankan pingat perak dimenanginya pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila sekadar mencatat 11.84s di kedudukan ke enam.
Dua tahun lalu ratu pecut negara itu mencatat 11.74s dibelakang atlet daripada Vietnam, Le Tu Chinh (11.56s) yang juga juara bagi edisi kali ini.