Skuad berbasikal lebuh raya pulang tangan kosong

Iklan

SKUAD berbasikal lebuh raya negara pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang pingat dari Sukan SEA ke-30 di sini, selepas mempamerkan aksi hambar yang gagal mencabar pemenang pingat dari negara lain.

Pada hari terakhir disiplin lebuh raya dipertandingkan hari ini melibatkan acara lepas beramai-ramai individu (Mass Start) di Tagaytay, keputusan terbaik pasukan negara adalah tempat ke-16 menerusi Muhammad Zawawi Azman yang mencatatkan 3 jam, 26 saat dan 18 saat, sekali gus gagal mencapai sasaran sebutir emas.

Iklan
Iklan

Nik Mohd Azwan Zulkifle (3:30:04s) menamatkan saingan di tempat ke-21, diikuti Nur Amirull Fakhruddin Mazuki (3:30:09s) di tempat ke-22, Muhammad Ameer Ahmad Kamal (3:37:10s) tempat ke-32 dan Mohd Shahrul Mat Ami (3:44:13s) di tempat ke-33.

Pelumba Thailand, Sarawut Sirironnachai meraih pingat emas dengan catatan 3:21:11s, manakala pelumba Laos, Ariya Phounsavath (3:21:20s) dan Goh Choon Huat (3:21:40s) dari Singapura masing-masing meraih perak dan gangsa.

Iklan

Bagi acara lepas beramai-ramai berpasukan, Malaysia sekadar meraih tempat kelima dengan 19 minit di belakang juara, Thailand yang mencatatkan 10:07:05s, manakala Indonesia (10:09:09s) dan Filipina (10:14:50s) meraih perak dan gangsa.

Pasukan Malaysia yang dibarisi antara nama-nama terkemuka dari pasukan kebangsaan dan profesional, Team Sapura Cycling (TSC) dan Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), gagal menyerlah dalam kesemua empat acara lelaki dan dua acara wanita, dan paling rapat dengan podium ialah Jupha Somnet yang menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara lepas beramai-ramai wanita.

Iklan

Pengurus pasukan negara, Amrun Misnoh berkata, laluan Sukan SEA kali ini yang berbukit menjadi faktor utama kepada kegagalan itu.

"Ya, kita gagal, kita tidak boleh menyaingi pelumba negara lain kerana laluan berbukit. Pada Sukan SEA 2017, laluannya landai dan kita tidak menghadapi banyak masalah... Kita harapkan pelumba pasukan profesional dan kebangsaan, tetapi gabungan mereka tak begitu mantap.

"Kita harus mengambil iktibar dari keputusan ini dan perlu memulakan latihan di laluan berbukit setahun sebelum temasya bermula lagi supaya dapat memberikan cabaran sekiranya laluannya berbukit pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada Sukan SEA 2017, daripada lima acara lebuh raya yang dipertandingkan, Malaysia meraih dua pingat emas, tiga perak dan satu gangsa. - Bernama