BIARPUN tanpa kilauan emas yang berjaya disumbangkan pada Sukan SEA Ke-30, Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) tetap berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh atlet mereka.
Presidennya, Rusni Abu Hassan (she) berkata, pencapaian dua pingat perak dan satu gangsa diraih pada temasya kali ini telah melebihi sasaran persekutuan yang hanya menyasarkan dua pingat gangsa.
"Saya rasa 50 peratus daripada skuad penuh kita adalah muka baharu dan muda lagi. Perancangan awal saya adalah nak bagi pendedahan untuk mempersiapkan mereka semua menjelang Sukan SEA 2021 di Hanoi.
"Waktu itu nanti saya hendak mereka lebih bersedia dan tidak merasakan bahawa Sukan SEA Hanoi itu adalah penampilan pertama mereka," katanya kepada media ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia di sini.
Lawan pedang melabuhkan tirainya hari ini yang juga menyaksikan tiada sebarang pingat berjaya disumbangkan oleh atlet negara pada hari terakhir itu.
Dalam perkembangan sama, Rusni turut berpuas hati dengan prestasi dipamerkan kesemua wakil Malaysia pada temasya kali ini, khususnya atlet senior negara, Joshua Koh I-Jie.
Joshua meraih pingat perak dalam acara Epee individu lelaki, sekali gus memperbaiki pencapaiannya yang meraih gangsa bagi acara sama ketika di Kuala Lumpur dua tahun lalu.
Rusni berkata, dengan peningkatan dipamer atlet kelahiran Kuala Lumpur itu, ia tidak mustahil buat Joshua untuk merebut slot ke pentas Olimpik yang dijadualkan bermula April tahun hadapan.
"Saya berharap supaya dia meneruskan lagi latihan dia (Joshua), sebab peluang untuk dia layak ke Olimpik memang ada. Pra kelayakan Olimpik ini akan dipertandingkan di Seoul, Korea Selatan selepas 15 April tahun hadapan.
"Saya akan sedaya upaya membantu dia dalam masa empat bulan berkenaan, untuk persediaan dia sebab memang tak mustahil untuk dia merebut slot ke Olimpik," katanya. - Bernama