Anjing mati, tiada kaitan dengan masjid

Iklan
Mohamad Taufek(tengah) bersama Mohd Asna(kanan) dan setiausaha masjid, Zulkifli Ab Aziz(kiri) pada sidang media.

SEREMBAN - Pihak Masjid Ibnu Khaldun Taman Lavender Height, Senawang menegaskan mereka tidak ada kena mengena dengan isu beberapa ekor anjing yang ditemui mati di kawasan perumahan itu baru-baru ini.

Pengerusinya, Mohd Asna Amin menafikan dirinya atau pihak masjid meletak racun di kawasan masjid sehingga menyebabkan haiwan berkenaan mati.

Iklan
Iklan

"Kami langsung tidak ada kena mengena dengan gambar yang ditularkan. Mungkin ada penduduk ambil tindakan sendiri letakkan racun kerana marah anjing sering masuk ke kawasan masjid.

"Saya tahu mengenai isu anjing mati ini selepas tular di Facebook.

Iklan

"Kita ada cuba selidik dengan penduduk, tapi masing-masing diamkan diri dan berkenaan gambar racun yang tular itu, ia adalah gambar lama,” katanya pada sidang media di pejabat Exco Belia dan Sukan negeri yang juga Adun Paroi, Muhamad Taufek Abd Ghani di sini, hari ini.

Katanya, masalah anjing liar di kawasan perumahan itu telah berlaku sejak tahun 2017 dan aduan telah dibuat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Iklan

Namun apa yang dikesalkan, tiada tindakan diambil meskipun ada kejadian anak penduduk yang cedera terjatuh kerana dikejar haiwan terbabit.

"Apabila tanya Majlis Perbandaran Seremban (MPS), katanya bidang kuasa Jabatan Veterinar dan bila tanya Jabatan Veterinar, tolak semula kepada MPS.

"Kita pun pernah mengadu secara lisan kepada Adun Paroi sebelum ini, Mohd Ghazali Wahid dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ketika mereka datang program di masjid, tapi tak selesai juga isu anjing ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Taufek sangat berharap, isu itu tidak terus disensasikan dengan mengaitkan ia dengan sentimen perkauman.

Katanya, pengerusi masjid berkenaan juga telah dipanggil polis untuk memberi keterangan dan sebaiknya masyarakat serahkan kepada polis untuk jalankan siasatan.

"Di kawasan Dun Paroi, masalah anjing liar bukan sahaja berlaku di Taman Forest Height, tetapi juga di Taman Marida dan Dataran Senawang.

"Saya faham rakyat hadapi kesukaran dengan isu anjing liar ini dan kerajaan negeri sedang berusaha atasinya dengan berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan,” katanya.

Sinar Harian hari ini melaporkan lima bangkai anjing ditemui di kawasan perumahan Taman Lavender Height dipercayai akibat diracun.

Kejadian itu menjadi tular di Facebook dan mendapat pelbagai reaksi netizen.