Kerajaan PH kuat jika parti komponen stabil

Iklan
Antara laporan Sinar Harian berkaitan kekecohan dan kontroversi yang melanda sepanjang Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Melaka.

BERAKHIR sudah tiga perhimpunan penting melibatkan parti-parti politik terbesar Malaysia seperti UMNO, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun, sorotan penting diberikan kepada PKR kerana beberapa pemerhati sudah boleh menghidu kemelut yang bakal melanda parti itu.

Iklan
Iklan

Mereka menyifatkan Kongres Nasional PKR di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Ayer Keroh, Melaka sebagai pentas drama politik paling panas pada tahun ini.

Episod pergaduhan dan tindakan boikot yang dilakukan oleh para penyokong Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah benar-benar memalukan parti yang sudah berusia 20 tahun itu.

Iklan

Ibarat nasi sudah pun menjadi bubur, apa yang berlaku itu menjadi sejarah hitam PKR.

Ada pihak mendakwa perpecahan dalam parti itu kerana ada pihak tidak mahu melihat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Iklan

Tidak dapat dipastikan punca sebenar beberapa pihak dalam parti itu tidak senang dengan usaha menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Kini, semua pihak ternanti-nanti langkah Anwar yang seterusnya. Rata-rata perwakilan mahu tindakan tegas diambil terhadap kumpulan yang dilabel sebagai pengkhianat itu.

Apa yang pasti, episod panas melibatkan pemimpin PKR itu tidak akan terhenti dan sudah pasti ada sambungan cerita yang seterusnya.

Walau apapun yang berlaku, ketahuilah rakyat sedang memerhati gelagat dan tingkah laku pemimpin-pemimpin PKR.

Dengan persepsi yang semakin buruk dan negatif terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini, sudah tentu apa yang berlaku tidak akan memberikan kebaikan langsung kepada kerajaan.

Sepatutnya, kongres yang berlangsung itu digunakan sebaiknya untuk memberikan idea dan kritikan membantu meningkatkan prestasi kerajaan bukannya menjadi medan bertelagah.

Kongres Nasional kali ini nampaknya gagal untuk memberikan keyakinan kepada rakyat tentang kemampuan parti itu untuk mentadbir.

Selesaikan segera apa juga sengketa dalaman melibatkan parti komponen atau PH tidak akan mampu memerintah lebih daripada satu penggal.