KUALA LUMPUR - Bendera bukan sekadar sepotong kain yang digantung atau dikibar sebagai perhiasan, tetapi ia sehelai kain dengan pelbagai warna dan lambang yang diperagakan untuk menterjemahkan kedaulatan, penghormatan dan martabat sesebuah negara.
Begitu juga dengan Jalur Gemilang, nama rasmi bendera Malaysia, yang menggantikan bendera Union Jack penjajahan British untuk menunjukkan Malaysia sebuah negara bebas dan berdaulat.
Selain Jalur Gemilang, setiap negeri dan wilayah persekutuan di negara ini mempunyai bendera masing-masing dengan lambang dan warnanya yang mewakili nilai-nilai luhur yang menjadi pegangan negeri itu.
Malaysia Focus, Jilid 2/2009, terbitan Jabatan Penerangan Malaysia memperincikan pelbagai fakta menarik akan sejarah dan maksud yang tersirat di sebalik setiap warna dan lambang Jalur Gemilang serta bendera negeri-negeri di Malaysia. Ia juga menjelaskan cara betul mengibarkan dan menyimpan bendera (http://dbook.penerangan.gov.my/).
Perlu diingati bahawa warna dan lambang bendera mana-mana negara mempunyai maksud tersirat dan ia perlu dihormati dan tidak boleh diubah atau diperlakukan sewenang-wenangnya. Kejahilan mana-mana pihak terhadap martabat bendera tanah air mereka adalah satu yang tidak boleh diterima.
Menyentuh mengenai kepentingan bendera, Pakar Sosial Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, Jalur Gemilang merupakan lambang kemerdekaan negara yang perlu dipertahankan 'maruahnya'.Mengambil contoh peperangan yang berlaku pada zaman dahulu, beliau berkata, walau apa pun yang berlaku ketika peperangan itu, bendera akan tetap dipegang oleh pejuang, jatuhnya bendera bermaksud jatuhlah kumpulan ataupun pasukan itu.
"Itu sebab pada zaman sahabat nabi (Muhammad SAW), ada seorang sahabat patah tangan kanan, kemudian bendera itu dibawa ke tangan kiri dan sebaliknya, ini jelas membuktikan betapa pentingnya bendera sebagai tanda kehormatan dan kemegahan sesebuah negara," katanya kepada Bernama.
Jelasnya, sesuatu perkara yang telah diwartakan sebagai lambang negara atau jata perlu digunakan berdasarkan peraturan sedia ada yang umumnya tidak boleh ditempatkan di tempat yang tidak sesuai sehingga mencemarkan kedaulatan dan kesuciannya.
Beliau juga berkata, tindakan penguatkuasaan yang tegas perlu dikenakan terhadap mereka yang menghina Jalur Gemilang bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
Di negara ini, mana-mana individu yang tidak menghormati penggunaan Jalur Gemilang boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan, di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.Sementara itu, aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, rakyat Malaysia perlu tahu cara menghargai Jalur Gemilang dengan penghormatan tertinggi dan usaha boleh dilaksanakan kementerian berkaitan dengan kerjasama media serta pertubuhan badan bukan kerajaan.
Rakyat Malaysia juga harus berbangga dengan bendera negara tidak kira di mana ia berkibar dan tidak harus lupa yang mereka bernaung di negara yang memilik bendera itu.
Bukan sahaja Jalur Gemilang, malah setiap bendera negeri juga perlu diberi penghormatan yang sama kerana ia melambangkan jati dan identiti negeri berkenaan. - Bernama