JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang menghidap angin ahmar maut selepas terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Jalan Keembong, 18, Taman Johor Jaya di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu mangsa, S Krisnan, 55, disahkan maut di tempat kejadian akibat melecur seluruh anggota badan.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Fauzan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.05 petang.
"Dua buah jentera bomba dengan kekuatan 20 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
"Bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran. Mayat mangsa kemudiannya ditemui sejurus selepas api selesai dipadamkan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Fauzan berkata, kebakaran itu turut melibatkan rumah sebelah kanannya terbakar namun dilaporkan tiada sebarang kehilangan jiwa yang berlaku.
Sementara itu, jiran mangsa, R Nagan, 40, memberitahu, dirinya mula menyedari api semakin marak kira-kira jam 6 petang selepas mendengar jeritan yang kuat daripada rumah mangsa.
"Ketika itu, saya sedang berehat bersama keluarga, tiba-tiba terdengar jeritan kuat daripada rumah sebelah. Bila saya jengah di tingkap nampak api dah marak, saya terus berlari keluar.
"Saya pun tak sempat nak keluarkan apa-apa, cuma mahu dapatkan dua anak perempuan saya yang berusia enam dan lima tahun. Lepas itu, kami satu keluarga terus keluar dari rumah,” katanya.
Jelasnya, kebakaran itu turut mengakibatkan tingkat atas rumahnya terbakar selain mengalami beberapa kerugian antaranya barangan peribadi.