SABAK BERNAM - Seramai sembilan orang awam dan pengamal media termasuk Sinar Harian menerima sijil penghargaan sempena Perhimpunan Pagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam hari ini.
Turut menerima sijil penghargaan ialah 45 pegawai dan anggota polis yang menunjukkan komitmen membanteras jenayah dan meningkatkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis disempurnakan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa.
Nor Azmi berkata, majlis itu sebagai penghargaan kerjasama antara anggota PDRM dan orang awam bagi memastikan keamanan negara terpelihara.
"Tugas anggota pasukan keselamatan semakin mencabar dan kerjasama baik antara orang awam dan pengamal media perlu diteruskan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.
Nor Azmi berkata, usaha pencegahan jenayah bukan setakat menagih komitmen anggota semata-mata tetapi memerlukan sokongan serta kesedaran masyarakat setempat.
"Membanteras jenayah merupakan tanggungjawab bersama dan perlu ditangani secara kolaboratif dengan semua peringkat termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.
"Saya yakin hubungan baik antara polis dan masyarakat akan memberi impak positif dan proaktif dalam perkhidmatan polis," katanya.
Menurutnya, polis amat menghargai kerjasama diberikan masyarakat, sekali gus membantu pihaknya mencegah jenayah.
"Kerjasama antara pihak berkuasa dengan masyarakat sangat penting untuk mengekang masalah jenayah bagi mewujudkan suasana selamat dan harmoni,” katanya.