Kayuhan solo ke 41 masjid

Iklan
Mohamad Afandi memulakan kayuhan solo di Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian hari ini.

KOTA BHARU - Seorang pendikir barat tersohor dari Kelantan memulakan misi kayuhan berbasikal secara solo hari ini ke 41 masjid membabitkan enam daerah di negeri ini.

Mohamad Afandi Mohamad, 35, yang juga guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) berkata, misi itu bertujuan menyampaikan sumbangan sambil mempromosikan keindahan seni bina masjid di Kelantan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kayuhan tersebut dijangka tamat dalam tempoh tiga hari dengan beliau hanya berhenti makan dan bermalam di masjid yang disenaraikan menerima derma.

"Kayuhan bermula pada jam 9.30 pagi di Kota Bharu sebelum singgah di Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang. Kayuhan dijangka berakhir di masjid sekitar Pasir Puteh sebelum pulang semula ke Kota Bharu dengan anggaran jarak keseluruhan sejauh 160 kilometer.

Iklan

"Saya tetap meneruskan kayuhan walaupun musim hujan namun bergantung kepada tahap keselamatan sehingga misi ini selesai,” katanya ketika ditemui di lokasi pelepasan di Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian.

Beliau yang juga pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Info Semasa Kubang Kerian berkata, sejumlah kutipan derma wang tunai dan 50 kampit beras hasil sumbangan orang ramai akan disampaikan di masjid terpilih.

Mohamad Afandi membawa sumbangan derma wang tunai daripada orang ramai ke masjid-masjid sekitar negeri ini.

Iklan

"Selain itu saya akan mengagihkan sumbangan kepada penduduk di kawasan Bendang Pok Yong, Tumpat yang terjejas akibat banjir.

"Sempena misi ini juga saya berhasrat menerapkan kecintaan golongan muda terhadap masjid dan lebih ramai artis dikir seperti kami terbabit dengan aktiviti serta mengimarahkan masjid,” katanya.

Bapa lima anak itu juga merancang mengadakan misi sama selepas ini dengan meluaskan jarak jelajah secara berkumpulan.