Terowong dasar laut: Mahkamah tangguh bicara saman terhadap Guan Eng

Iklan

GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan perbicaraan kes saman Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung kenyataan dalam isu pembinaan projek terowong dasar laut di negeri ini kepada 21 Februari tahun hadapan.

Hakim Datuk Rosilah Yop menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas membenarkan permohonan peguam Felix Lim mewakili Guan Eng yang memohon satu tarikh baharu kerana anak guamnya itu tidak dapat menghadirkan diri pada perbicaraan hari ini disebabkan ada urusan lain.

Iklan
Iklan

Kes itu sepatutnya ditetapkan untuk sambung bicara pada hari ini dengan Guan Eng memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Dalam penyataan tuntutannya yang dikemukakan pada Mac tahun lepas, Abdul Azeez mendakwa Guan Eng mengeluarkan kenyataan fitnah masing-masing pada sidang media di pejabat Ketua Menteri di Komtar pada 28 Feb, 2018 dan pada majlis sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada tarikh sama yang mengaitkan Abdul Azeez dengan bayaran perundingan RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Iklan

Abdul Azeez selaku plaintif mendakwa kenyataan itu telah mendapat liputan yang meluas serta diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik dan akhbar-akhbar tempatan selain turut disiarkan di beberapa halaman akhbar dan media sosial defendan.

Plaintif mendakwa saman itu dibuat berikutan kenyataan itu telah menyebabkan Abdul Azeez mengalami kerosakan yang amat dahsyat terhadap reputasi dan nama baiknya di samping terpaksa mengalami keaiban, kebencian yang amat sangat serta penghinaan daripada orang awam.

Iklan

Sehubungan itu, Abdul Azeez memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain turut memohon suatu perintah untuk penerbitan balik kenyataan menyinggung berhubung isu terowong dasar laut itu serta permintaan maaf awam di dalam akhbar dan media elektronik tempatan.

Beliau juga memohon injuksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan, membolehkan atau menyebabkan kenyataan-kenyataan menyinggung berkenaan diterbitkan. - Bernama