Hasrat baiki rumah lebur

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

KUANTAN - Hasrat seorang suri rumah membuat pinjaman wang untuk membaiki rumah tidak kesampaian apabila menjadi mangsa tawaran iklan pinjaman tidak wujud di Facebook.

Mangsa berusia 24 tahun dari Cerating itu bukan sahaja gagal mendapatkan RM10,000 yang dipinjamkan malah turut kerugian RM3,360 selepas membuat beberapa bayaran bagi proses kelulusan pinjaman yang dipohon.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan iklan pinjaman wang syarikat kredit itu melalui satu akaun Facebook selepas melayari laman sosial itu pada 28 November lalu.

Menurutnya, mangsa telah memberikan maklumat peribadinya untuk membuat permohonan sebelum menerima pesanan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Jason, ejen syarikat pinjaman tersebut pada hari berikutnya.

Iklan

"Dia diminta menghantar gambar kad pengenalan dan bil air bagi tujuan semakan kelayakan.

"Mangsa kemudiannya dimaklumkan layak membuat pinjaman dalam jumlah yang diminta namun seperti biasa perlu membuat beberapa bayaran untuk mengaktifkan akaun yuran guaman dan cukai pendapatan," katanya.

Iklan

Mohd Wazir berkata, tanpa menyedari sudah terperangkap dengan jerat sindiket penipuan, mangsa membuat bayaran melalui empat akaun bank atas nama empat lelaki berbeza membabitkan jumlah bayaran keseluruhan RM3,360.

"Selepas membuat bayaran itu, mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran RM600 kerana lambat membuat bayaran proses sebelum itu," katanya.

Beliau berkata, mangsa tidak membuat bayaran tambahan itu kerana mula curiga dan syak sudah ditipu lalu membuat laporan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kita turut mengesan empat pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan," katanya.