JERANTUT - Hujan sejak beberapa hari lalu bagaikan rezeki buat penduduk di daerah ini apabila memperoleh hasil tangkapan luar biasa selepas air Sungai Pahang menjadi besar.
Penduduk Kampung Rumpun Makmur, Mohd Nizam Mohd Tapar,43, dalam tempoh empat jam, dia memperoleh 10 ekor ikan gerahak semalam.
Katanya, dia menggunakan kaedah candik iaitu alat seperti sauk besar kerana paling sesuai untuk menangkap ikan sungai ini kerana ketika ini ikan suka berada di kawasan berumput di tebing sungai.
"Saya mencandik dari tebing sungai yang berumput kerana air sungai keruh menyebabkan ikan tidak lari," katanya.
"Ia rezeki saya kerana ikan ini amat digemari penggemar ikan sungai dan harganya mencecah harga RM60 sekilogram," katanya.
Sementara itu rakannya, Tajudin Ahmad, 42, berkata, pelbagai cara digunakan penduduk untuk menangkap ikan seperti menahan jaring, menghanyut, tajur, memancing selain menggunakan candik.
Menurutnya,dia menggunakan kaedah menahan jaring dan berjaya memperoleh dua ekor ikan baung ekor merah seberat 5 kilogram.
"Ikan ini saya tidak jual hanya untuk makan sekeluarga. Kebetulan ramai adik-beradik pulang ke kampung sempena cuti sekolah.
"Ia adalah rezeki dari ALLAH SWT kepada penduduk terutama penduduk kampung yang terletak berhampiran kawasan sungai," katanya.