Rimau 7's sudah beri aksi terbaik

Iklan
Pemain-pemain Rimau 7's bersama Shahrul Zaman, Saizul Hafifi dan barisan kejurulatihan meraikan kejayaan skuad negara meraih pingat perak pada Sukan SEA Filipina 2019.

PENGENDALI skuad ragbi tujuh sepasukan kebangsaan (Rimau 7's), Mohd Saizul Hafifi Md Noor menyifatkan para pemainnya sudah memberikan aksi terbaik dalam misi mempertahankan pingat emas pada saingan Sukan SEA Filipina 2019.

Namun menurutnya, beliau dan pemain-pemain akur edisi ke-30 bukan rezeki Rimau 7's apabila tunduk kepada tuan rumah Filipina pada perlawanan akhir penentuan emas perak.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah, prestasi dan persembahan dalam kalangan pemain-pemain pada hari ini lebih baik berbanding hari pertama semalam.

"Pemain-pemain Rimau 7's memberikan komitmen pada masa sama mempamerkan semangat juang yang tinggi ketika aksi menentang Thailand dan Filipina," katanya yang turut juga memuji disiplin baik para pemain sepanjang kejohanan.

Iklan

Skuad Rimau 7's kembali semula ke Padang Clark Parade semalam bagi berdepan Thailand dan Filipina dengan semangat meneruskan momentum kemenangan ke atas Indonesia (38-0), Singapura (26-12) dan Laos (68-0) kelmarin.

Hasilnya skuad negara berjaya mengekalkan rentak kemenangan apabila mengatasi Thailand 19-7 sebelum tunduk kepada tuan rumah Filipina 24-0 pada aksi terakhir liga sepusingan.

Iklan

Pada aksi penentuan pingat emas perak pada sebelah petang yang turut dihadiri Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, skuad Rimau 7's sekali lagi terpaksa akur kehebatan Filipina apabila tewas 19-0.

Pemain-pemain dan barisan kejurulatihan Panthera Ladies selepas mengakhiri saingan Sukan SEA Filipina 2019 kali ini dengan kilauan gangsa selepas menewaskan Indonesia 19-12.

Mengenai prestasi dalam kalangan pesaing seperti Thailand, Singapura dan Filipina berbanding semasa edisi ke-29 di Kuala Lumpur, Saizul mengakui, ketiga-tiga pasukan tersebut menunjukkan peningkatan yang amat baik berbanding edisi sebelumnya.

"Alhamdulillah skuad Rimau 7's kali ini juga yang telah melakukan persiapan rapi juga berjaya menyaingi ketiga-tiga pasukan berkenaan pada temasya kali ini.

"Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan semangat juang dan komitmen diberikan para pemain negara yang boleh saya kata bertambah baik serta ada kemajuan jika dibandingkan pada edisi sebelum ini," katanya.

Ditanya mengenai cabaran seterusnya selepas Filipina 2019 Mohd Saizul Hafifi berkata, tumpuan kini adalah mempersiapkan pasukan bagi saingan Asia Rugby Sevens Series 2020 yang dijadualkan berlangsung pada September tahun depan.

Sementara itu, skuad ragbi tujuh sebelah wanita negara, Panthera Ladies mengakhiri saingan kali ini dengan meraih gangsa selepas menewaskan Indonesia 19-12.

Skuad negara memulakan kempen hari kedua langkah kiri apabila tewas kepada 31-0 Thailand sebelum bangkit mengatasi Indonesia 39-5 Indonesia bagi melengkapkan saingan liga sepusingan.

Panthera Ladies yang akan tampil pada Asia Rugby Sevens Series tahun depan memulakan hari pertama kelmarin tewas kepada Filipina 31-5 sebelum bangkit dua aksi berikutnya dengan mengatasi Singapura 19-12 diikuti Laos 39-0.