Pahang sambut baik anggota keselamatan di Cameron Highlands

Iklan
Wan Rosdy bersama Dr Wan Azizah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands di Bangunan Parlimen hari ini.

KUANTAN - Kerajaan Pahang menyambut baik keputusan kerajaan untuk menempatkan anggota keselamatan dalam kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) sepanjang operasi penguatkuasaan khususnya ‘Ops Lestari’ yang dilaksanakan di kawasan Cameron Highlands.

Penempatan anggota keselamatan bagi tujuan kawalan, rondaan serta ‘show of presence’ diharap dapat menangani dan mengatasi isu-isu berkaitan pencerobohan tanah secara haram di kawasan tanah tinggi itu.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendirian itu sebagai mengulangi komitmen kerajaan Pahang untuk terus berusaha memelihara dan memulihara serta membangunkan kawasan tanah tinggi Cameron Highlands secara lebih lestari.

Komitmen kerajaan negeri itu disampaikan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beliau Parlimen hari ini.

Iklan

Wan Rosdy berkata, bagi memudahkan aspek penempatan anggota keselamatan itu, kerajaan Pahang akan mengenal pasti kuarters kerajaan di Sungai Burung, Brinchang di mana kos pembaikan dan penyediaan utiliti akan ditanggung Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, kerajaan Pahang juga meluluskan peruntukan RM150,000 yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH), bagi menampung keperluan makan-minum serta bekalan minyak kenderaan anggota-anggota keselamatan tersebut.

Iklan

"Peruntukan itu untuk menampung keperluan dalam tempoh Disember ini hinggalah Mac 2020 dan bermula April tahun depan, perbelanjaan itu akan ditanggung sendiri pihak ATM dan PGA.

"Sebagai tambahan kepada peranan ATM dan PGA, kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang menggabungkan agensi-agensi penguatkuasaan Kerajaan Pahang, untuk turut membantu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, operasi penguatkuasaan Fasa 2 ‘Ops Lestari’ yang berjalan pada April 2019 khususnya di Sungai Ichat tertangguh ekoran tindakan injunksi mahkamah yang diambil 28 pekebun kecil.

Katanya, injunksi ini telah ditarik balik pada 30 September lalu sekali gus membolehkan kerja-kerja penguatkuasaan dilaksanakan semula melibatkan kawasan seluas 97.12 hektar.

"Ia merupakan sambungan kepada Fasa 1 ‘Ops Lestari’, melibatkan tanah seluas 24.28 hektar yang bermula 25 Februari dan selesai dilakukan dengan jayanya pada 19 Mac 2019,”katanya.