KOTA TINGGI - Jumlah mangsa yang terjejas akibat bencana banjir di daerah ini mencatatkan peningkatan kepada 39 individu berikutan hujan berterusan sejak awal pagi tadi.
Difahamkan, jumlah tersebut menyaksikan pertambahan sebanyak 20 mangsa daripada empat keluarga dari tiga kampung lain yang turut terjejas.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi berkata, sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga dibuka untuk menempatkan kesemua 20 mangsa berkenaan.
Menurutnya, pemindahan juga dilakukan ekoran kediaman mangsa di tiga kampung berkenaan telah dinaiki air dengan kedalaman kira-kira 0.5 meter.
"Kesemua mangsa yang dipindahkan ini adalah membabitkan penduduk dari Kampung Jawa, Taman Aman dan Taman Mawai yang berada di kawasan Bandar Kota Tinggi.
"Mangsa terjejas kini ditempatkan di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi yang mula dibuka sejak 12.30 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa seramai 19 individu daripada lima keluarga yang tinggal di tiga penempatan lain sekitar Teluk Ramunia di sini.
Kesemua 19 mangsa itu juga masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Teluk Ramunia sejak 2.30 petang semalam berikutan paras air di kediaman masing-masing belum lagi menunjukkan penyusutan.