Gambar ngeri milik wanita dilibas pedang tular

Iklan
Gambar-gambar yang tular di media sosial.

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengesahkan gambar ngeri memaparkan tangan terbelah yang tular di media sosial, sejak semalam benar-benar berlaku dalam kejadian pecah rumah di Kampung Muka Bukit, Machang minggu lalu.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam pada 1 Disember lalu, mangsa iaitu seorang wanita warga emas berusia 59 tahun dilibas dengan pedang menyebabkannya tangan kiri terbelah selain mengalami kecederaan pada kepala dan bibir.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kes berkenaan disiasat sebagai cubaan bunuh dan pihaknya kini giat memburu seorang suspek lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

"Ketika kejadian, suspek yang lengkap memakai topeng penutup muka dan bersenjatakan sebilah pedang menyelinap masuk melalui tingkap ke dalam bilik tanpa disedari mangsa.

Iklan

"Mangsa yang selepas itu masuk untuk tidur kemudian menyedari kehadiran suspek dan berlaku pergelutan sebelum mangsa dilibas pedang. Cara suspek menyerang dengan melibas pedang tersebut disiasat sebagai cubaan untuk membunuh,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar selepas Majlis Meraikan Pegawai Kanan Polis/ Pegawai Rendah Polis/ Pegawai Awam Yang Bersara Peringkat Kontinjen Kelantan di Dewan Tan Sri Fuzi, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Iklan

Hasanudin berkata, hasil siasatan awal berdasarkan keterangan, mangsa tidak mengenali lelaki yang menyerangnya dan suspek gagal melarikan sebarang barangan berharga milik mangsa.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Machang sebelum dipindahkan Hospital Universiti Sains Malaysia untuk pembedahan. Mangsa sudah pun dibenarkan keluar dari hospital dan berada dalam keadaan stabil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.