Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

Iklan
Rumah binaan kayu separuh kekal itu hangus dijilat api dalam kejadian tengah hari tadi.

GUA MUSANG - Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3, di sini, hangus dijilat api tengah hari tadi.

Ketika kejadian, pemilik rumah, Ahmad Junek, 41, berada di kebun sementara isteri serta tiga anaknya berada di bandar Gua Musang.

Iklan
Iklan

Katanya yang juga peneroka, dia ke kebun untuk mencari sayur pucuk paku manakala isteri dan anak-anak ke bandar untuk membeli baju sekolah.

"Saya hanya tahu mengenai kejadian itu pada jam 1.45 petang apabila jiran menghubungi saya menerusi telefon.

Iklan

"Apabila saya pulang, saya hanya mampu melihat rumah dimamah api yang sedang marak. Nasib baik anak-anak dan isteri tiada di rumah.

"Semua dokumen penting dan harta benda hangus. Buat masa ini, kami menumpang tinggal di rumah kosong kakitangan pejabat Kesedar Paloh 3," katanya.

Iklan

Sementara itu Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.35 tengah hari.

Katanya, operasi memadamkan api mengambil masa hampir dua jam apabila 90 peratus rumah binaan kayu separuh kekal itu hangus.

"Seramai tujuh anggota ditugaskan untuk operasi memadamkan api. Kita berjaya menamatkan operasi pada jam 3.14 petang.

"Bagaimanapun punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.