Ramai lagi berpeluang layak

Iklan
Norza

DUA beregu badminton profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong tidak tersenarai dalam sistem berperingkat (tiering system) program latihan kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang berkata kedua-dua beregu terbabit tiada dalam Tier Pertama yang melibatkan persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berikutan keputusan mereka untuk bergerak secara bebas.

Iklan
Iklan

Untuk rekod, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, masih dalam kedudukan terbaik dunia untuk layak ke Olimpik Tokyo.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja di antara MSN dan BAM hari ini.

Iklan

BAM bagaimanapun mengusulkan agar diadakan perbincangan di antara badan induk badminton negara itu dengan MSN dan kelab-kelab badminton yang mempunyai pemain berpotensi, katanya ketika dihubungi, di sini.

"Kita tidak boleh beranggapan hanya pemain ini sahaja yang layak ke Sukan Olimpik, masih ada ramai lagi pemain profesional seperti Liew Daren yang kini pemain perseorangan utama negara (mengikut ranking Persekutuan Badminton Dunia), Iskandar Zulkarnain Zainuddin, beregu lelaki, Arif Abdul Latif-Nur Mohd Azriyn Ayub, mereka ini juga mempunyai bakat dan peluang,” katanya lagi.

Iklan

Sebelum ini atlet berprestasi tinggi berada dalam Program Podium namun selepas penstrukturan semula, program itu dibuat berdasarkan empat temasya utama iaitu Sukan Olimpik/Paralimpik, Sukan Asia/Para Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Sea/Para Asean menerusi sistem berperingkat.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata BAM juga mengusulkan agar bantuan diberi sama rata kepada pemain profesional yang berpotensi kerana semua pemain, sama ada bawah naungan BAM mahupun bebas, masih mempunyai masa sehingga April 2020 untuk merebut slot ke temasya berkenaan.

Pada masa sama beliau berkata penghijrahan pemain berkenaan memberikan impak positif kepada sukan badminton negara.

"...saya percaya saingan tahun ini akan lebih sengit terutamanya antara pemain bawah naungan BAM dan kelab," katanya.- Bernama