Dah macam tandas hotel 5 bintang

Iklan
Tandas awam di Lurah Semantan bersih, harum dengan alunan muzik menyenangkan menarik perhatian pengguna.

TEMERLOH - Tandas awam Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di Lurah Semantan setanding tandas di hotel mewah berjaya menarik perhatian orang ramai.

Mohd Qushairie Saindi,27, berkata, dia terkejut apabila pertama kali menggunakan tandas tersebut.

Iklan
Iklan

"Macam bukan tandas. Dahlah bersih, cantik serta wangi pula dan ada alunan lagu lagi.

"Tandas ini bak tandas lima bintang mengalahkan tandas di hotel mewah kerana diuruskan dengan begitu baik dan pasti memuaskan hati sesiapa sahaja yang datang ke sini," katanya lagi.

Iklan

Suasana menarik dan kemudahan yang terdapat di tandas awam MPT di Lurah Semantan.

Ujarnya, ia berbeza dengan keadaan tandas awam yang kebiasaannya berbau busuk dan kotor

Iklan

Sementara itu Setiausaha MPT, Mohd Ali Mohd Amin berkata, tandas itu dibuka sejak 30 tahun lalu dan berasal dari sebuah bangunan lama tetapi masih kukuh dan telah diubah suai.

"Wajah baru tandas ini dilakukan pada tahun ini sebagai satu inisiatif untuk menceriakan kemudahan tandas awam demi keselesaan pengguna kerana ia terletak dengan terminal bas dan teksi, pekan sehari, pasar tani, pusat bandar dan gerai makan milik MPT.

"Di dalam tandas turut dihiasi bunga dan dekorasi kreatif dengan gambar pemandangan, kata kata pujangga dan sudut informasi tentang sejarah Temerloh dan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan selepas itu kerja pembersihan dan penyelenggaraan akan dilakukan," jelasnya.

Tandas awam di Lurah Semantan berwajah baharu pada tahun ini berjaya menarik perhatian orang ramai.

Tambahnya, terdapat sebanyak 16 unit tandas lelaki dan perempuan, satu tandas orang kurang upaya (OKU) serta bilik persalinan untuk bayi selain kemudahan selipar berlainan saiz dan warna serta ruang menunggu yang bersih dan selesa disediakan di tandas terbabit.

Katanya, tandas tersebut turut di hiasi dengan suasana nyaman, alunan muzik serta landskap menarik di bahagian luar sekali gus menjadi tanda aras kepada tandas awam lain yang terdapat di Temerloh.

"Namun saya tetap mahu mengingatkan supaya pengguna bertanggungjawab dan tidak menyerahkan tugas ini sepenuhnya kepada MPT sahaja. Memang ada kes vandalisme yang berlaku.

"Untuk perancangan akan datang, MPT akan melakukan usaha sama pada satu atau dua tandas awam lain di Temerloh, Insya-ALLAH," jelasnya.