MENJELANG pertengahan Disember ini, Merak Jalanan pasti kedai-kedai menjual kelengkapan persekolahan akan dipenuhi oleh ibu bapa yang mula berbelanja untuk anak-anak mereka.
Pekerja di kedai baju, kasut, beg sekolah dan alat tulis akan sibuk melayani setiap pelanggan yang mahu menyediakan persiapan persekolahan untuk sesi sekolah tahun 2020.
Ramai ibu bapa dan penjaga sudah lama menabung atau menyimpan duit untuk belanja hangus setiap menjelang sesi baharu persekolahan.
Mana tidaknya, bajet untuk seorang anak bukan sedikit; mahu cecah RM100 sehingga RM200 seorang termasuk belanja beli buku, tambang bas sekolah dan uniform kelas agama dan fardu ain.
Bayangkan kalau satu keluarga ada lima anak yang bersekolah, belanja untuk sesi buka sekolah sahaja sudah mencecah hampir RM1,000.
Apatah lagi dalam keadaan kebanyakan harga barangan sudah meningkat, belanja persekolahan naik dari setahun ke setahun.
Kalau tidak menyimpan sedikit demi sedikit mungkin pening kepala nak mencari sumber kewangan tetapi kebiasaannya ramai ibu bapa sudah bersedia dan membuat pelan awal tiga atau empat bulan sebelum sesi persekolahan bermula.
Mereka akan potong bajet atau berjimat cermat untuk sebulan dua bagi memastikan belanjawan untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak tersedia.
Bagi menjimatkan lagi perbelanjaan, baju, seluar, kain dan kasut sekolah serta beg yang masih elok akan diulang pakai untuk tahun depan. Mungkin hanya sepasang kelengkapan baharu yang akan dibeli.
Merak Jalanan sendiri pun mengamalkan belanjawan jimat. Bukannya kedekut tetapi tidak mahu membazir. Benda yang masih boleh dipakai buat apa mahu diganti. Baik gunakan duit yang ada itu untuk kegunaan lain.