Guan Eng tak perlu jaga hati rakyat

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kanan: Noor Hariri Mohamed Noor

KOTA BHARU - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak perlu menjaga hati rakyat dengan mengeluarkan kenyataan bagaikan 'melepaskan batuk di tangga'.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, amat mengejutkan apabila Guan Eng menyatakan bahawa 60 peratus daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sudah ditunaikan.

Iklan
Iklan

"Ia hanya satu pernyataan melepaskan batuk di tangga. Tanpa memberi apa-apa makna, tidak seperti yang dirasai oleh rakyat.

"Kalau fitnah 1MDB (1Malaysia Development Berhad) menjadi punca kekalahan Barisan Nasional (BN), rakyat akan pastikan janji kosong dan penipuan akan menjadi sebab kejatuhan kerajaan PH kali ini," katanya.

Iklan

Menurutnya, berapa banyak masa lagi yang rakyat perlu berikan kepada kerajaan PH kerana ternyata ekonomi dan kestabilan politik kini amat teruk sekali.

"Usahkan manifesto nak ditunaikan tetapi dalam 580 hari PH-DAP ini memerintah Malaysia, RM36 bilion aset negara sudah dijual kepada entiti asing tanpa bidaan yang menarik walaupun aset tersebut menguntungkan negara.

Iklan

"Ini belum lagi dikira dengan kedudukan mata wang negara yang semakin merosot berbanding negara jiran dan juga Indeks BSKL menjunam ke paras amat teruk sekali. Hal-hal ini tentunya menakutkan pelabur untuk melabur di negara kita," katanya.

Katanya, Guan Eng perlu mengemukakan jawapan dan kenyataan berfakta, bukan hanya pandai berkata-kata untuk menyedapkan hati rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: 60 peratus manifesto PH sudah ditunaikan: Guan Eng

"Segenap lapisan rakyat merasa kesannya. Yang kaya tentunya resah dengan kerugian berniaga manakala rakyat di kampung terasa dengan kesempitan apabila subsidi insentif bersasar yang ditarik kerajaan pada hari ini.

"Kami ingin menasihatkan Menteri Kewangan, usahlah berdalih dengan penipuan kerajaan pada hari ini. Guan Eng sepatutnya bertanggungjawab di atas segala masalah dan skandal kewangan yang berlaku tidak sampai dua tahun pemerintahan," katanya.