SHAH ALAM - Penganjuran Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2019 yang berlangsung bermula 6 Disember lalu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini berlangsung dalam suasana tenang dan harmoni.
Ia jauh berbeza dengan sebuah lagi persidangan parti dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2019 yang berlangsung penuh drama dan kekecohan,
Begitu juga proses pemilihan Amanah yang julung kali diadakan turut berjalan dengan lancar dan penuh kesederhanaan.
Tidak keterlaluan, konvensyen Nasional Amanah kali ini diibaratkan seperti pertemuan dan perbincangan adik-beradik dalam menentukan hala tuju rumahtangga parti itu pada masa hadapan.
Sentimen sama dikongsi penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff yang menyifatkan perjalanan konvensyen Amanah kali ini lebih menarik perhatian berbanding Kongres Nasional PKR 2019 dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Menurutnya, topik perbincangan dibangkitkan perwakilan sepanjang konvensyen dilihat lebih terbuka dan demokratik berbanding parti-parti lain di negara ini.
"Kita lihat perwakilan ada keberanian mengkritik sesiapa sahaja dan lebih menarik tiada amaran dikemukakan Speaker parti terhadap mereka.
"Para kepimpinan Amanah juga kelihatan berlapang dada memberikan reaksi dan ini satu anjakan paradigma positif dengan pembawaan satu budaya politik baharu kepada negara," katanya kepada Sinar Harian.
Sabtu lalu turut menyaksikan teka-teki sama ada berlaku perubahan tampuk kepimpinan dalam Amanah turut terjawab apabila kesemua 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu bersepakat mengekalkan status quo kepimpinan sesi lalu pada sesi 2019-2022 kali ini.
Keputusan itu dianggap unik dan mengejutkan, meskipun Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Seri Salahuddin Ayub hanya meraih undi ketujuh dan ketiga tertinggi daripada kalangan 27 ahli Jawatankuasa Nasional parti.
Kekal status quo kepimpinan keputusan matang
Seorang lagi penganalisis politik dari UUM, Penganalisis dari UUM, Profesor Dr Mohd Azizuddin Md Sani berkata, senario itu memberi indikator Amanah yang hanya ditubuhkan empat tahun lalu, semakin matang dalam memastikan hala tuju dan kestabilan parti terus terpelihara.
"Konvensyen Amanah saya tengok dari aspek pemilihan parti agak terbuka sehingga jawatan perhubungan negeri dipertandingkan, sungguh mengagumkan.
"Secara umum Amanah mengekalkan status quo kepimpinan untuk sesi baharu kerana mereka bimbang untuk menjejaskan kestabilan parti dibina sejak empat tahun lalu.
"Lagipun ramai pemimpin Amanah yang memegang jawatan utama parti adalah kelompok pengasas parti dan dilantik menjadi menteri Pakatan Harapan (PH). Justeru, tuntutan akar umbi parti memenuhi kestabilan parti dapat dilihat sejak dari awal," katanya.
Bagi Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Muhd Yusri Ibrahim pula, keputusan mengekalkan kestabilan dalam Amanah, khususnya menghadapi tempoh transisi kerajaan PH yang genting sekarang ini adalah tindakan bagus dan tepat.
"Keputusan itu membolehkan Amanah kekal fokus kepada agenda mengisi kemenangan PH, berbanding terpaksa menghabiskan masa dan tumpuan menghadapi polemik apabila kerusi kepimpinan tertinggi ditukar.
"Pemilihan Mohamad sebagai Presiden dan Salahuddin Ayub sebagai Timbalan Presiden adalah mengikut perlembagaan parti dan tatacara pemilihan kepimpinan mereka, tiada isu dalam kes ini," katanya.
Budaya bodek, angkat bakul sendiri ditolak perwakilan
Seperkara lebih mencuit perhatian, budaya membodek dan 'angkat bakul sendiri' langsung tidak ditunjukkan oleh perwakilan dan kepimpinan Amanah sepanjang sesi perbahasan dan penggulungan konvensyen.
Sebaliknya, perwakilan Amanah dilihat memberi kritikan agak keras dan pedas kepada kepimpinan mereka yang kini dilantik sebagai menteri kerajaan PH.
Ucapan perbahasan mereka juga lebih terarah mempersoalkan beberapa inisiatif kerajaan PH yang dianggap mengundang kemarahan rakyat ketika ini.
Antaranya ialah projek kereta terbang; ketiadaan liputan secara langsung konvensyen parti-parti dalam PH oleh media kerajaan; kelemahan penyampaian komunikasi kepada rakyat; ketidakfahaman rakyat terhadap gagasan Rahmatan Lil Alamin dan pengenalan Program Subsidi Petrol (PSP).
Bagi kepimpinan parti pula, mereka dilihat bersifat 'apologetik' dengan memohon maaf kepada perwakilan bagi setiap kekurangan dan kelemahan dihadapi kerajaan PH dalam memenuhi janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kamarul Zaman berpandangan budaya politik baharu ini ditonjolkan Amanah ini bakal mengubah persepsi rakyat terutama pengundi Islam dan Melayu terhadap objektif perjuangan sebenar parti itu.
"Walaupun pandangan perwakilan seolah-olah memberi imej negatif kepada Amanah, kritikan dalaman pada masa sama dilihat sangat signifikan bagi menyedarkan kepimpinan Amanah jika ada sesuatu perkara tidak kena," katanya.
Bagi Dr Azizuddin pula, setiap kritikan keras dan pedas daripada perwakilan ada asas dan menunjukkan manifestasi kesungguhan dan kasih sayang mereka dalam mempertahankan parti mereka.
"Contohnya isu pemberian liputan media kepada konvensyen parti kerajaan, ada sampai minta menteri penerangan letak jawatan.
"Kritikan itu nampak keras, tetapi 'spot on' (tepat). Ianya sebagai peringatan kepada kepimpinan parti dan menteri untuk lebih 'perform'," katanya.
Konvensyen tidak jadi medan hentam pembangkang
Dr Muhd Yusri berkata, konvensyen Amanah kali ini turut menampakkan perubahan segar apabila ianya tidak lagi menjadi medan parti itu menghentam parti pembangkang terutama seteru lama mereka, Pas.
Menurutnya, setiap perwakilan parti dilihat menggunakan medium perbahasan bagi memberi refleksi kepada prestasi parti mereka sendiri.
"Mereka tidak lagi membuat serangan kepada parti-parti lawan seperti yang sering dilakukan parti-parti lain.
"Begitu juga kepimpinan parti, ucapan penggulungan dan penangguhan mereka segar dan matang dalam kerangka memperkukuhkan parti dan tidak lagi menyindir parti lawan.
"Ini budaya matang yang mungkin pelik di mata rakyat negara ini, tetapi sangat berkesan dalam menyentuh pengundi-pengundi atas pagar," katanya.
Sementara itu, Dr Azizuddin menyifatkan Amanah sudah mula menunjukkan tingkah laku mencerminkan sebuah parti kerajaan dengan sesi perbahasan dan penggulungan parti yang lebih menekankan aspek kelangsungan parti.
"Ada unsur kematangan dilihat dalam Amanah tetapi cabaran besar mereka adalah untuk menjual identiti parti yang mendukung Islam progresif kepada masyarakat Melayu negara ini.
"Amanah masih memerlukan masa di samping perlu memastikan gagasan Rahmatan Lil Alamin dicetuskan pemimpin mereka dijayakan sebagai simbolik pencapaian parti," katanya.
Amanah jadi gam menyatupadukan PH
Konvensyen Amanah turut menyaksikan Mohamad Sabu dalam ucapannya menegaskan Amanah adalah parti yang paling stabil dan mampu menjadi gam untuk menyatukan kembali parti-parti dalam PH daripada kemelut dalaman.
Dalam isu ini, Kamarul Zaman bersetuju dengan pandangan itu walaupun parti itu memiliki kerusi Parlimen paling sedikit berbanding parti lain dalam PH iaitu 11 kerusi.
"Amanah juga tiada perpecahan dalaman serius dan paling penting parti itu paling banyak berkorban dalam soal pembahagian kerusi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.
"Bahkan Amanah juga mampu bertindak sebagai agen pendamai kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ini kerana jika masalah dalaman PKR tidak selesai, keutuhan PH sendiri juga boleh tergugat," katanya.
Dari sudut lain, Dr Muhd Yusri menganggap Amanah perlu berperanan untuk mengurangkan ketegangan isu transisi jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, Amanah juga mampu berperanan menjirus air bagi menyejukkan bara yang sekali sekala mencetuskan api pergeseran antara Parti Pribumi Rakyat Malaysia (Bersatu) dan PKR.
Elak persepsi remeh jika Amanah hendak maju
Secara keseluruhan, objektif penganjuran Konvensyen Nasional Amanah 2019 tercapai daripada beberapa aspek penting seperti pengukuhan organisasi, kelangsungan parti dan penyampaian suara kebimbangan akar umbi terhadap dasar pentadbiran kerajaan PH.
Meskipun persepsi Amanah sebagai proksi DAP sukar dikikis, parti itu perlu mengakui generasi kedua gerakan Islam di Malaysia itu perlu terus berjalan tanpa mengendahkan sebarang serangan persepsi.
Amanah juga perlu benar-benar mengubah mentaliti ahli supaya berfikir sebagai kerajaan dengan inisiatif penyampaian khidmat dan maklumat terbaik kepada rakyat sebagai keutamaan paling tinggi.
Posisi Amanah juga sangat penting dalam menentukan kelangsungan PH.
Justeru, Amanah tidak perlu menghabiskan masa dan tenaga untuk memberi tumpuan kepada persepsi remeh, sebaliknya buktikan kejayaan pemimpin mereka dengan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.